Berita Utama

Individu tak hormat sejarah saja bantah tukar nama Bukit St Paul

Perlu ada petisyen tukar nama tempat yang bunyi Inggeris

BANGI, 2 Zulhijjah 1441H, Khamis – Hanya individu atau parti yang tidak menghormati sejarah negara dan memahami perjuangan mendapatkan kemerdekaan sahaja akan menentang cadangan pertukaran nama tempat di Malaysia kepada identiti asal tanah air.  

Sebelum ini, Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) mencadangkan Bukit St Paul di Bandar Hilir Melaka ditukar nama kepada Bukit Melaka bagi mengembalikan nilai sejarahnya.

Usaha berkenaan diusul supaya nilai sejarah Kesultanan Melayu Melaka lebih dipromosikan berbanding nama penjajah.

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat tentangan MCA Kota Melaka dengan mendakwa tindakan mengubah nama ikon sejarah sebagai tidak masuk akal.

Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ir Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad berkata, pertukaran nama-nama tempat daripada Inggeris – sempena nama penjajah – kepada Melayu adalah perkara biasa bagi mengembalikan identiti asal Malaysia. 

Justeru, cadangan PERZIM menukarkan Bukit St Paul kepada Bukit Melaka adalah tindakan tepat yang perlu disokong semua pihak.

“Kita ada hak dalam hal ini dan tidak perlu berjuang dalam nada mempertahankan diri (defensive).

“Hanya individu atau parti yang tidak menghormati sejarah negara dan tidak faham perjuangan mendapatkan kemerdekaan negara dari pihak penjajah yang zalim akan menentang usul ini. MCA adalah salah satu daripadanya,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Lukman yakin pertukaran nama itu adalah tepat, apatah lagi semua tempat-tempat itu asalnya menggunakan nama Melayu sebelum penjajahan.

“Sebagai contoh, nama Port Swettenham diambil sempena nama seorang Residen General British bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu ditukar kepada Pelabuhan Klang pada tahun 1972.

“Begitu juga dengan nama Jesselton yang diambil sempena nama seorang pegawai Bristish yang merupakan Pengerusi Syarikat Perdagangan British Borneo Utara ditukar kepada Kota Kinabalu pada tahun 1967,” katanya.

Beliau menyarankan satu petisyen lebih besar perlu dibuat bagi mendapatkan sokongan rakyat majoriti dan kelulusan pihak berkuasa bagi menukar nama-nama tempat lain di Malaysia yang masih berbunyi Inggeris.

“Sebagai contoh Brickfield, Georgetown (nama asal Tanjung Penaga); Butterworth (nama asal Tanjung /Bagan); Slim River, Port Dickson (nama asal Tanjung Tin); Cameron Highland; Bukit Fraser; Pulau Carey (nama asal Pulau Bangsar); Beaufort (nama asal Padas); Kampung Mortem; Felda L.B Johnson dan Kampung Parit Jerman,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button