Berita Utama

Jangan tunggu saat akhir isi bancian dalam talian

Data corakkan struktur demografi, sosial, ekonomi 10 tahun lagi

KUALA LUMPUR, 2 Zulhijjah 1441H, Khamis – Orang ramai diminta tidak menunggu pada saat akhir untuk mengisi bancian bagi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) secara dalam talian (e-Census), bagi mengelakkan kesesakan talian.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, tempoh untuk mengisi bancian itu yang agak panjang menyebabkan ramai yang masih menangguh untuk melengkapkan data dan dibimbangi akan menimbulkan masalah apabila mereka mengisinya di saat akhir.

Katanya, lebih 200,000 orang telah terlibat melakukan bancian secara e-Census sejak ia dilaksanakan 7 Julai lepas.

“Setakat ini, negeri yang tertinggi melaksanakan e-Census ialah Sabah dan Sarawak dan kini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sedang memberi fokus untuk menggalakkan mereka di peringkat kementerian dan agensi serta premis perniagaan untuk mengisi e-Census ini,” katanya kepada Bernama.

Projek bancian yang memasuki tahun keenam itu melibatkan kira-kira 32.7 juta penduduk dan sembilan juta tempat kediaman yang dijalankan dalam dua fasa. Fasa pertama bermula 7 Julai hingga 30 Sept dilakukan melalui e-Census, manakala fasa kedua akan bermula 7 hingga 24 Okt menggunakan kaedah temu ramah secara bersemuka.

Mohd Uzir yang juga Pesuruhjaya Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 berkata penggunaan e-Census juga boleh dijadikan pengisian aktiviti kekeluargaan memandangkan soalan yang perlu diisi adalah melibatkan isi rumah.

“Selain itu, ia boleh dilaksanakan mengikut kesesuaian masa masing-masing, jadi ia lebih praktikal dilakukan secara dalam talian selain ia dapat mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku kerana ada yang mengambil kesempatan menyamar sebagai pegawai banci datang rumah ke rumah.

“Kami juga telah mengedarkan hampir satu juta kad bagi pelaksanaan e-Census di peringkat lapangan, iaitu pada kad itu disediakan kod yang boleh digunakan orang ramai untuk melakukan bancian. Kami sasar edar tiga juta kad, dan kami jangkakan pada minggu ini dan seterusnya ia akan meningkat,” katanya.

Bagi yang tidak menerima kad untuk pelaksanaan e-Census, mereka juga masih boleh melakukannya secara sukarela dengan mendaftar di laman web ecensus.mysensus.gov.my

Sementara itu, beliau berkata, kaedah temu ramah bersemuka dalam fasa kedua nanti akan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan memandangkan negara masih bergelut dengan COVID-19.

Mohd Uzir berkata masyarakat perlu mempunyai kesedaran tinggi bahawa dapatan data bancian itu akan mencorakkan struktur demografi, sosial dan ekonomi negara untuk tempoh 10 tahun akan datang sekali gus mampu menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada rakyat.

“Orang awam tidak perlu bimbang, kita tidak menggunakan data individu secara peribadi, mereka perlu mengisinya secara jujur, kalau maklumat tidak tepat, ia tidak mewakili keadaan sebenar. Saya yakin semua orang kena memahami, kerana pada akhirnya yang dapat manfaat adalah rakyat,” katanya dan menambah sistem yang diguna pakai tidak akan dibolosi sewenang-wenangnya.

Melalui tema ‘Data Anda Masa Depan Kita’, bancian penduduk dan perumahan yang dilaksanakan setiap 10 tahun memberi gambaran sebenar mengenai situasi kependudukan semasa Malaysia bagi menjadi sumber rujukan dan asas penting kepada perancangan pembangunan negara.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Hana Ali, 43, berkata penggunaan platform e-Census bagi proses pengisian maklumat untuk Banci 2020 mudah dan menjimatkan masa lebih-lebih lagi kepada golongan berkerjaya.

“Sekarang boleh buat dalam talian, jadi bila-bila masa sahaja boleh buat, ia juga dapat mengurangkan jarakan sosial, ini membolehkan risiko penularan COVID-19 diminimumkan kerana tidak melibatkan pertemuan secara fizikal sama ada dengan pembanci dan orang yang dibanci.

“Kalau temu duga bersua muka, tuan rumah mungkin ada perasaan ragu-ragu, takut kena scam. Jadi melalui e-Census ini dapat mengelakkan risiko jenayah, kita takut ada yang ambil kesempatan,” tambah Hana.

Pesara kerajaan, Abdul Rahman Talib, 58, pula berkata bancian itu dapat menjadi garis panduan kepada perancangan pembangunan sosioekonomi dan polisi kerajaan pada masa hadapan.

“Ini menunjukkan rakyat juga menjadi penyumbang walaupun nampak kecil tapi sebenarnya penting untuk memberi maklumat kepada kerajaan dalam membangunkan negara,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close