‘Jika BERSATU ikhlas, bubar…masuk UMNO atau PAS’
Tubuh banyak parti Melayu akan akibatkan orang Melayu bertelagah
BANGI, 2 Zulhijjah 1441H, Khamis – Sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ikhlas untuk penyatuan Melayu, mereka perlu membuang ego dengan membubarkan parti dan menyertai UMNO atau PAS.
Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berkata, retorik negatif seperti ‘UMNO tidak popular, UMNO parti yang kalah’ seperti diucapkan pemimpin BERSATU tidak membantu memperbaiki hubungan dan hanya memburukkan lagi keadaan.
“Tidak ada sokongan akar umbi untuk BERSATU dan kemenangan 13 kerusi pada PRU lalu hanya kerana undi Melayu terbahagi antara UMNO dan PAS.
“Kali ini, ia tidak lagi akan memiliki kelebihan ini. Orang Cina tidak akan memilih BERSATU lagi dan kumpulan kecil orang Melayu yang juga penyokong tegar PKR akan meninggalkannya.
“Jika BERSATU tidak bekerjasama dengan UMNO, ia akan bermasalah,” katanya.
Isham juga mendakwa, orang Melayu memerlukan UMNO dan PAS untuk memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam.
“Jika ahli BERSATU tidak menyukai UMNO, mereka boleh menyertai PAS. Ini jika mereka betul-betul peduli dengan perpaduan Melayu,” katanya.
Selain itu, Isham turut menyarankan untuk tidak mengadakan pelbagai parti Melayu sekiranya mahu melihat penyatuan bangsa itu.
Beliau berkata, penubuhan banyak parti Melayu akan mengakibatkan orang-orang Melayu bertelagah dan lebih mudah berpecah-belah.
“Cukuplah parti politik UMNO dan PAS untuk memperjuangkan Melayu dan Islam.
“Jika BERSATU ikhlas, mereka perlu ketepikan ego, bubarkan BERSATU dan menyertai UMNO atau PAS.” katanya.
Terdahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad secara sinis bercadang mahu menubuhkan sebuah lagi parti politik baharu selepas parti yang diasaskannya – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) – sudah berpecah kepada dua kem.
Mahu menamakannya ‘Parti Apa Aku Dapat (AAD)’, Dr Mahathir berkata, kebanyakan orang Melayu suka menubuhkan parti politik, dan sebab itulah beliau menubuhkan Bersatu satu ketika dahulu.
BERSATU ditubuhkan secara rasmi pada September 2016 yang dikhususkan kepada orang Melayu, yang dikatakan sebagai pengganti kepada UMNO.
Bagaimanapun, sejak Februari lalu, parti berkenaan berdepan konflik dalaman apabila berpecah kepada dua kem di antara Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir.