Krisis memuncak, 100,000 penduduk Yaman hilang tempat tinggal
Lebih 10,000 pindah sejak Mac kerana bimbang penularan COVID-19
SANA’A, 2 Zulhijjah 1441H, Khamis – Lebih daripada 100,000 penduduk Yaman kehilangan tempat tinggal sejak awal tahun ini berikutan pertempuran, konflik dalaman dan penularan pandemik COVID-19, kata Organisasi Antarabangsa untuk Migrasi (IOM).
IOM – antara organisasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, walaupun sudah hampir enam tahun perang tercetus di Yaman, konflik di negara itu masih belum berakhir sehingga menyebabkan 100,000 rakyatnya hilang tempat tinggal dan berasa tidak selamat.
“Namun, COVID-19 pula muncul sebagai penyebab baharu perpindahan dalaman di seluruh negara,” kata organisasi itu.
Menurut laporan IOM, bermula 30 Mac hingga 18 Julai lalu, pihaknya merekodkan lebih 10,000 penduduk berpindah kerana COVID-19 – kebanyakannya bimbang mereka berisiko dijangkiti wabak yang memberi kesan kepada perkhidmatan sosial dan ekonomi.
Ketua Misi IOM Yaman, Christa Rottensteiner menyifatkan situasi di negara itu sangat mengerikan, terutama di lokasi seperti Aden di mana sejumlah besar kubur digali untuk mangsa dijangkiti wabak.
Laporan turut memberi amaran bahawa penularan COVID-19 dan kekangan kewangan menimbulkan cabaran besar kepada komuniti kemanusiaan.
Setakat ini, Yaman mencatatkan 1,619 kes COVID-19, di mana jumlah itu tidak termasuk di kawasan yang dikendalikan oleh militan Houthi.- Agensi