Berita Utama

Melayu, Bumiputera mundur jika tiada usaha radikal dalam 10 tahun

MTEM harap MKB akan lebih berkesan daripada MEB, DEB sebelum ini

BANGI, 2 Zulhijjah 1441H, Khamis – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu membuktikan bahawa kejayaan program Bumiputera tidak lagi diukur dengan jumlah peruntukan belanjawan yang diberi, tetapi keberhasilannya pada ekonomi negara.

Ketua Pegawai Eksekutit Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman berkata, isu pembangunan Bumiputera masih perlu diberikan perhatian, lebih-lebih lagi selepas merujuk laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, baru-baru ini.

Beliau berkata, laporan itu jelas menunjukkan pendapatan isi rumah Bumiputera masih tercorot berbanding masyarakat Cina dan India, selain masih mempunyai kebergantungan besar pada gaji sebagai sumber utama.

“Hanya 20 peratus isi rumah Bumiputera sahaja miliki aset yang memberi pulangan menokok pendapatan isi rumah bulanan.

“Yang baki 80 peratus hanya bergantung pada pendapatan pekerjaan dan perniagaan kecil-kecilan semata-mata dan tidak mempunyai aset,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau bimbang jika tiada tindakan radikal dilakukan dalam tempoh 10 tahun, orang Melayu dan Bumiputera akan terus mundur dan ketinggalan dalam menikmati kemakmuran dalam negara. 

Apatah lagi dengan kesan pandemik COVID-19 ketika ini, beliau yakin situasi akan lebih terdesak dan mencabar bagi golongan Bumiputera. 

Bagaimanapun, Ahmad Yazid berkata, MTEM menyokong dan menyambut baik usaha kerajaan menubuhkan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB).

“Harapan MTEM, MKB akan mengambil iktibar daripada kejayaan dan kelemahan MEB (Model Ekonomi Baru) dan DEB (Dasar Ekonomi Baru) dengan semangat dan kesungguhan baru dan luar biasa.

“Oleh itu, harapan MTEM, MKB perlu melibatkan pelbagai pemegang taruh ekonomi Bumiputera termasuk NGO dan masyarakat sivil bukan sahaja peniaga dan usahawan,” katanya.

Beliau berkata, MKB juga perlu memastikan fungsi Teraju yang baru, tidak menggandakan fungsi agensi atau institusi sedia ada.

“Hakikatnya Komuniti Ekonomi Bumiputera sudah bosan dengan pelbagai kongres dan seminar yang kita anjurkan jika aktiviti ini sekadar mengulangi kenyataan permasalahan yang sama.

“Kali ini bertindaklah dengan berani dan pantas supaya laungan kebangkitan ekonomi Melayu dan Bumiputera selepas ini tidak menjadi sia-sia dan retorik semata-mata,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button