Berita Utama

PPN Sarawak ditutup selepas petugas positif COVID-19

Pembersihan, nyahkuman sekitar pejabat telah dilakukan

KUCHING, 2 Zulhijjah 1441H, Khamis – Operasi Pejabat Pilihan Raya Negeri (PPN) Sarawak ditutup sementara bermula Isnin lepas sehingga 2 Ogos ini selepas seorang daripada kakitangannya didapati positif COVID-19, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ikmarudin Ishak hari ini.

Selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan pandemik COVID-19 yang ditetapkan Kementerian Kesihatan, kesemua kakitangan PPN Sarawak yang mempunyai kontak rapat dengan kakitangan berkenaan telah diarah menjalani saringan COVID-19 serta kuarantin kendiri wajib selama 14 hari.

“Susulan daripada itu, operasi pejabat PPN Sarawak ditutup sehingga selesai tempoh kuarantin berkenaan memandangkan tiada kakitangan yang bertugas di pejabat itu sepanjang tempoh kuarantin,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, pada masa yang sama, pembersihan dan nyahkuman di ruang dan kawasan sekitar pejabat telah dilaksanakan sebagai langkah pencegahan penularan wabak berkenaan.

Beliau menambah urusan-urusan pilihan raya seperti pendaftaran dan semakan pengundi serta yang berkaitan masih boleh dilakukan melalui portal rasmi SPR di www.spr.gov.my, https://pengundi.spr.gov.my, aplikasi MySPRDaftar dan MySPRSemak, Hotline SPR di 03-88927018 atau SMS ke 15888 (taip SPR SEMAKNO. KAD PENGENALAN). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button