Berita Utama

RUU 355: Jawapan timbalan menteri mengecewakan

Tak bercanggah peruntukan Perlembagaan, kenapa tak disegerakan?

BANGI, 2 Zulhijjah 1441H, Khamis – Jawapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk Shaary mengenai cadangan pembentangan kali kedua Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU 355) agak mengecewakan umat Islam, kata Gerakan Pengundi Sedar (GPS).

Ahmad Marzuk sebelum ini berkata, kerajaan sentiasa terbuka terhadap cadangan penambahbaikan berkaitan penggubalan undang-undang daripada pelbagai pihak.

“Bagaimanapun, cadangan ini memerlukan pertimbangan dan penelitian secara menyeluruh bagi memastikan cadangan tersebut selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam jawapan bertulis, semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin), yang ingin tahu apakah kerajaan berhasrat membentangkan rang undang-undang pindaan Akta 355 atau RUU355 untuk kali kedua.

Mengulas perkara itu, GPS berkata, sepatutnya Ahli Parlimen PAS dan UMNO menjadi jaguh untuk membawa RUU355 apabila sudah menjadi kerajaan sekarang.

Menerusi hantaran di Facebook, gerakan anak muda itu menegaskan, peruntukan RUU355 tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan sedia ada, justeru ianya perlu disegerakan.

“Timbalan Menteri Agama sepatutnya maklum mengenai pekara asas ini. Pemimpin kerajaan hari ini pernah menganjurkan perhimpunan RU355 yang dihadiri sekitar 50,000 orang di Padang Merbok sebelum menjadi kerajaan. Sepatutnya momentum dan kehendak umat Islam ini diutamakan sesegera mungkin.

“Banyak rangkuman ucapan pemimpin kerajaan hari ini yang menyebutkan secara hukum bahawa wajib membawa RUU355 untuk disegerakan. Ia adalah komiten kerajaan untuk mengangkat hak umat Islam tanpa alasan,” katanya.

Pada masa sama, GPS hairan mengapa kerajaan Perikatan Nasional tidak memberikan jawapan kukuh untuk memberikan komitmen tinggi bagi menjayakan RUU355.

“MCA mungkin menjadi halangan utama kerana sejarah MCA anti-Islam tidak dapat dipadamkan. Sepatutnya MCA perlu akur kerana mereka hanya mendapat dua kerusi Parlimen sahaja atas ihsan UMNO dan PAS juga,” katanya sinis.

Pada 26 Mei 2016, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang pernah membentangkan RUU 355 sebagai RUU persendirian di Dewan Rakyat

Ia bertujuan memperkasakan Mahkamah Syariah dan meningkatkan hukuman jenayah sedia tanpa membabitkan masyarakat bukan Islam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close