Berita Utama

Saran wujud akta khusus untuk penjarakan sosial

Boleh dikuat kuasa sementara hingga vaksin COVID-19 ditemui

BANGI, 2 Zulhijjah 1441H, Khamis – Kerajaan disaran mewujudkan sebuah akta khusus bagi memastikan pematuhan sepenuhnya saranan penjarakan sosial dalam kalangan orang ramai untuk membendung penularan wabak COVID-19.

Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Muzaffar Syah Mallow berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan kerana pihak kerajaan tidak boleh hanya mengharapkan orang ramai melakukan penjarakan sosial sendiri tanpa adanya sokongan daripada sebarang bentuk perundangan yang jelas.

“Kewujudan undang-undang khusus terhadap perkara ini boleh dikuat kuasa buat sementara waktu sehingga vaksin atau penawar bagi mengubati COVID-19 ditemui kelak.

“Memandangkan kerajaan sudah mengambil keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan membenarkan hampir semua sektor perniagaan, pekerjaan dan pendidikan mula beroperasi.

“…perlu juga diambil langkah drastik memastikan orang ramai mengambil pendekatan sewajarnya bagi melindungi diri mereka daripada dijangkiti COVID-19 atau menyebarkannya kepada orang sekeliling,” katanya.

Menulis di Berita Harian hari ini, Dr Muzaffar berkata, saranan kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) untuk orang ramai dalam negara kita melakukan penjarakan sosial adalah dialu-alukan.

Namun ia dibimbangi tidak membawa kesan selagi tidak disertai atau disandarkan dengan kuasa undang-undang, katanya.

“Walaupun terdapat beberapa peruntukkan undang-undang boleh diguna pakai seperti Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Kanun Keseksaan (Akta 574) dan lain-lain lagi, ia dilihat tidak mencukupi untuk memastikan orang ramai mematuhi saranan penjarakan sosial.

“Ini kerana ia tidak menyatakan dengan jelas perkara berkaitan proses penjarakan sosial ini.

“Oleh itu, dicadangkan kerajaan memberi pertimbangan serius untuk memperkenalkan sebuah kerangka undang-undang khusus bagi memastikan proses penjarakan sosial dalam negara dapat dilakukan dengan lebih berkesan dan serius,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan hukuman juga lebih mudah dilakukan terhadap mana-mana individu yang gagal mematuhi saranan penjarakan sosial berkenaan.

Katanya, melalui peruntukan khusus undang-undang penjarakan sosial ini, kerajaan dapat merangka dengan lebih terperinci maksud penjarakan sosial itu sendiri serta jumlah jarak penjarakan sosial yang benar-benar diperlukan di semua kawasan dalam sektor tempat kerja dan perniagaan dalam negara.

“Ini termasuklah di restoran, pusat beli belah, stesen minyak, bank, pejabat pos, sekolah, universiti dan lain-lain lagi.

“Melalui peruntukan khusus itu juga, jumlah penjarakan sosial dapat ditentukan dengan lebih jelas dalam semua pengangkutan awam yang ada dalam negara seperti bas, teksi, transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT), kereta api atau komuter dan kapal terbang.

“Apa yang lebih penting, peruntukan undang-undang khusus ini akan membuka mata orang ramai terhadap saranan penjarakan sosial oleh kerajaan dan masyarakat lebih mengambil serius saranan itu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close