Berita Utama

Tak salah tukar zon maritim nama lain seperti Laut Malaysia Raya

China cuba tukar tiga gugusan beting utama ke nama Mandarin

BANGI, 2 Zulhijjah 1441H, Khamis – Tidak salah untuk Malaysia menukar nama zon maritim daripada Laut China Selatan kepada nama lain, di saat China giat memberi nama mereka ke atas terumbu dan benting di wilayah berdaulat negara ini. 

Seperti tiga negara jiran lain, Filipina, Vietnam dan Indonesia juga bertindak menukar nama Laut China Selatan dalam zon maritim mereka yang berdaulat kepada nama masing-masing, kata Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda, Abdul Muein Abadi.

Justeru, apa salahnya jika Malaysia menunjuk isyarat tegas dengan menukarkan juga nama zon maritim negara kepada nama lain seperti Laut Malaysia Raya.

“Pada 21 April 2020, China bertindak memberikan nama kepada 80 pulau dan ciri geografi lain di Laut China Selatan, termasuklah di wilayah perairan kita.

“Terdapat tiga gugusan beting utama dalam wilayah yang cuba ditukar ke nama Mandarin oleh China iaitu Gugusan Beting Raja Jarum (Beikang Ansha), Gugusan Beting Patinggi Ali (Nankang Ansha) dan Beting Serupai (Zengmu Ansha),” katanya.

Menulis di Sinar Harian hari ini, Abdul Muein berkata, pada 2013 berlaku peningkatan pencerobohan oleh aset-aset Republik Rakyat China (RRC) yang tertumpu di kawasan Beting Patinggi Ali (BPA), Beting Raja Jarom (BRJ) dan Beting Serupai (James Shoaf) – kesemuanya dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia (ZEE).

“Sepanjang 2013 hingga Februari 2014, tujuh pencerobohan dikesan melibatkan 16 buah aset-aset tentera laut atau People’ Liberation Army Navy (PLAN) dan China Maritime Surveillance (CMS) RRC.

“Begitulah petikan jawapan YB Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertarikh 17 Mac 2014,” katanya.

China telah mendakwa bahawa Laut China Selatan adalah milik mereka walaupun mendapat bantahan dari negara-negara persisiran iaitu Malaysia, Vietnam dan Filipina.

Negara ‘pembuli’ itu mendakwa bahawa 80 peratus daripada Laut China Selatan adalah milik mereka berdasarkan sejarah perjalanan maritim pada kurun ke-15.

Malah, negara itu telah melakar sempadan sendiri di Laut China Selatan dengan apa yang dikenali sebagai ‘9 Dash Line’ – di mana bercanggah dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button