Vaksin COVID-19 mungkin pertengahan 2021
WHO sedang perluaskan akses terhadap vaksin
GENEVA, 2 Zulhijjah 1441H, Khamis – Penyelidik berada pada perkembangan positif dalam membangunkan vaksin COVID-19 – dengan beberapa percubaan pada peringkat akhir – namun penggunaan pertama dijangka hanya menjadi kenyataan pada awal 2021, kata pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Ketua Program Kecemasan WHO, Mike Ryan berkata, pihaknya sedang berusaha memastikan pengagihan vaksin yang adil, namun kunci utama sekarang ialah memastikan penularan virus dikawal, susulan peningkatan kes di seluruh dunia.
“Kita menghasilkan perkembangan positif,” katanya yang turut memaklumkan beberapa vaksin kini sudah memasuki percubaan fasa ketiga dan tidak menemui sebarang kegagalan setakat ini, baik dalam aspek keselamatan atau keupayaan mewujudkan tindak balas imun.
“Secara realistik, ia boleh diperoleh pada pertengahan pertama tahun depan,” kata Ryan di media sosial.
Beliau berkata, WHO sedang berusaha meluaskan akses terhadap vaksin dan membantu meningkatkan kapasiti pengeluaran.
“Dan kita harus berlaku adil dalam hal ini, kerana ini adalah kebaikan dunia.
“Vaksin untuk wabak ini bukan untuk golongan kaya, bukan untuk golongan miskin, ia untuk semua orang,” katanya.
Kerajaan Amerika Syarikat (AS) memperuntukkan AS$1.95 bilion (RM8.3 bilion) bagi membeli 100 juta dos vaksin COVID-19 yang dibangunkan Pfizer Inc dan syarikat bioteknologi Jerman, BioNTech jika ia terbukti berkesan serta selamat. – Agensi