Berita Utama

Cemari Parlimen dengan bahasa Inggeris, Speaker perlu bertegas

Dewan Rakyat perlu tunjuk tauladan baik kepada rakyat

BANGI, 3 Zulhijjah 1441H, Jumaat – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menyarankan, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun membuat satu peraturan baharu berkenaan penggunaan bahasa Inggeris ketika persidangan berlangsung.

Naib Presidennya, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, perkara itu dibangkitkan selepas tular beberapa rakaman sidang perbahasan di Dewan Rakyat terdapat penggunaan bahasa Inggeris yang tidak terkawal dalam kalangan Ahli Parlimen.

Justeru, beliau yang lebih dikenali sebagai Buzze Adam berkata, Azhar perlu mewajibkan kesemua Ahli Parlimen untuk meminta izin terlebih dahulu kepadanya sebelum berucap dalam bahasa Inggeris.

“YDP dewan hendaklah dengan jelas dilihat dan difahami telah memberikan keizinan selepas menerima permohonan daripada anggota dewan berkenaan.

“YDP dewan juga hendaklah menggunakan kuasa budi bicara ketika ingin membuat keputusan. YDP dewan boleh menolak sebarang permintaan untuk menggunakan bahasa Inggeris.

“Perbahasan yang menggunakan bahasa Inggeris jika dibuat tanpa izin YDP tidak boleh direkodkan di dalam hansard,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Buzze Adam berkata, pihaknya yakin Parlimen adalah institusi tertinggi negara yang mampu menunjukkan tauladan baik kepada rakyat supaya mematuhi Perlembagaan dan undang-undang, selaras dengan prinsip keluhuran Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang di dalam Rukun Negara.

“Salah satu mengapa bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa kebangsaan melalui Perlembagaan 1957 adalah atas tujuan untuk memupuk perpaduan antara pelbagai kaum di Tanah Melayu (ketika itu) dan Malaysia selepas 16 September 1963.

“Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab YB Datuk (Azhar) untuk memikul tanggungjawab besar ini untuk memastikan penggubal undang-undang di Malaysia perlu menunjukkan contoh mematuhi undang-undang terlebih dahulu, sebelum kerajaan meminta rakyat mematuhi undang-undang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close