Berita UtamaDunia

COVID-19: AS catat 2,600 kes baharu setiap jam

Jangkitan bergerak pantas hanya perlu 16 hari catat 4 juta kes

WASHINGTON, 3 Zulhijjah 1441H, Jumaat – Purata lebih daripada 2,600 kes baharu COVID-19 dicatatkan pada setiap jam di Amerika Syarikat (AS), ia sekali gus merekodkan hampir empat juta kes jangkitan secara kumulatif di negara itu.

Menurut Reuters, jumlah berkenaan adalah kadar yang tertinggi di dunia.

Jangkitan wabak berkenaan di AS semakin pantas sejak kes pertama dikesan pada 21 Januari lalu, dan negara itu hanya memerlukan 98 hari untuk mencecah sejuta kes.

COVID-19 terus menghantui negara itu apabila hanya memerlukan 43 hari bagi mencapai dua juta kes, dan 27 hari untuk tiga juta jangkitan.

Selain itu, AS dijangka hanya memerlukan 16 hari bagi merekodkan 4 juta kes pada kadar 43 kes dalam masa seminit.

Sementara itu, kerajaan Persekutuan, gabenor negeri dan pemimpin bandar sering bertelagah bagi mengemukakan pendapat masing-masing mengenai kaedah terbaik mengatasi COVID-19.

Perkara itu menyebabkan percanggahan peraturan dalam isu pemakaian pelitup muka di tempat awam dan ketika sektor perniagaan dibenarkan dibuka.

Selain itu, Presiden Donald Trump yang sebelum ini enggan memakai pelitup muka mengubah pendiriannya apabila muncul di khalayak ramai dengan memakai alat perlindungan itu buat kali pertama, selain menggalakkan orang ramai melakukan perkara sama.

AS muncul sebagai negara kedua paling terkesan akibat wabak itu dengan 120 jangkitan pada setiap 10,000 orang, selepas negara Chile.

Dengan lebih daripada 143,000 kematian atau 4.4 kematian pada setiap 10,000 orang, AS menduduki tempat keenam di dunia bagi kematian perkapita tertinggi. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close