Berita Utama

JPJ tunggu lampu hijau kuat kuasa kerusi keselamatan kanak-kanak

Sehingga kini JPJ hanya laksana tindakan secara advokasi

PUTRAJAYA, 3 Zulhijjah 1441H, Jumaat – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini hanya menunggu ‘lampu hijau’ daripada Kementerian Pengangkutan untuk menguatkuasakan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) di dalam kenderaan.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, sehingga kini pihaknya hanya melaksanakan tindakan secara advokasi iaitu memberi nasihat terhadap pengguna jalan raya yang tidak menggunakan kerusi berkenaan.

Beliau berkata setakat ini, JPJ telah mengeluarkan 1,897 notis peringatan terhadap pengguna jalan raya bermula awal tahun ini sehingga 30 Jun lepas.

“Kerusi keselamatan kanak-kanak atau ‘Child Restraint System’ ini termasuk dalam Akta JPJ 1987 dan sepatutnya pelaksanaannya pada Jun tahun ini, namun ia ditangguhkan pada satu tarikh oleh pihak kementerian.

“Ia tertangguh akibat penularan wabak COVID-19 dan penguatkuasaan CRS ini akan dilakukan apabila JPJ menerima arahan selanjutnya daripada kementerian,” katanya kepada Bernama di ibu pejabat JPJ, di sini, hari ini.

Katanya, statistik pada 2016 hingga 2018 menunjukkan sebanyak 1,707 kemalangan telah berlaku melibatkan kanak-kanak sepanjang tempoh berkenaan.

“Kemalangan berkenaan kebanyakan melibatkan kanak-kanak seusia bayi hingga mereka yang berumur 15 tahun (sumber Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman),” katanya.

Dalam pada itu, Shaharuddin menasihatkan masyarakat terutama pengguna jalan raya agar tidak bersikap sambil lewa terhadap isu ini.

“CRS ini penting kepada kanak-kanak memandangkan mereka terutama bayi amat mudah terdedah kepada kecederaan serius kerana mempunyai otot bahagian tengkuk yang lemah berbanding orang dewasa,” katanya.

Tahun lepas, kerajaan mengumumkan penggunaan CRS di dalam kenderaan persendirian bagi menyelamatkan bayi dan kanak-kanak daripada kecederaan serius atau kematian sekiranya berlaku kemalangan.

Langkah baharu itu juga susulan statistik membimbangkan iaitu 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dari 2007 hingga 2017.

Bagaimanapun, tiada saman dikeluarkan kepada ibu bapa yang gagal menggunakan CRS, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini yang bersifat mendidik terlebih dahulu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button