Berita Utama

Maritim tahan bot nelayan gajikan PATI

4 warga Myanmar ditahan tiada dokumen, permit bekerja

GEORGE TOWN, 3 Zulhijjah 1441H, Jumaat – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas A yang menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Op Benteng di kedudukan 0.5 batu nautika di Barat Laut Pulau Tikus, di sini semalam.

Pengarahnya Kapt Hamizan Harun berkata pasukannya yang sedang membuat rondaan telah menahan bot dinaiki seorang tekong dan lima awak-awak yang kesemuanya berusia antara 19 dan 37 tahun itu pada pukul 3.00 petang ketika mereka sedang leka menangkap ikan di kawasan perairan itu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati empat daripada awak-awak itu adalah warga Myanmar dan tidak mempunyai dokumen perjalanan atau permit bekerja manakala tekong dan seorang lagi awak-awak merupakan warga tempatan. Semua mereka ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenaytaan hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut merampas dua pukat hanyut, tiga tong ikan, satu motor penarik pukat dan peralatan lain yang dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban bagi tindakan lanjut.

Menurutnya, kes itu disiasat menurut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button