Berita Utama

Politik partisan ‘bunuh’ perjuangan Islam, ummah di negara ini

Lihat bangsa lain, percaturan di luar politik mereka sentiasa seragam

BANGI, 3 Zulhijjah 1441H, Jumaat – Roda politik demokrasi yang sedang berlaku pada hari ini tidak akan membawa agama Islam dan orang Melayu ke mana-mana, sebaliknya mengulangi perkara sama, kata Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS), Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa.

Beliau berkata, situasi itu dapat dilihat apabila individu yang ingin menjadi Perdana Menteri serta orang yang bertelagah dengannya adalah pihak sama sejak 20 tahun lalu.

Memikirkan keadaan itu mendatangkan kerugian kepada umat Islam susulan daripada berpecah, kemunduran dan diambil kesempatan oleh orang lain, Ustaz Syamil menyarankan, semua pihak melihat politik hari ini di luar kerangka kepartian.

“Jangan lihat politik hari ini pada parti tertentu, kita perlu pada kerangka satu ummah. Ummah dapat apa? Umat Islam Melayu secara keseluruhan apa yang kita dapat naiknya parti politik tertentu dan seumpamanya.

“Kemudian bolehlah kita memaksa, meletakkan syarat yang kuat kepada mana-mana pemimpin yang memerintah supaya mesti melayan kita punya kehendak. Macam mana kita nak buat macam itu jika kita sendiri berpecah.

“Kalau kita sendiri nak angkat isu BMF (Buy Muslim First) pun, ada pihak yang mengutuk lagi. Kita nak angkat isu kedaulatan Tanah Melayu, tukar nama Bukit Melaka pun ada juga orang Melayu yang menolak,” katanya dalam siaran langsung PEMBELA di Facebook, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan, mengapa orang Melayu tidak boleh mencontohi bangsa lain dari satu sudut kebersatuan seperti dalam isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan sekolah Cina.

“Parti yang berbeza tapi bersatu untuk isu itu sebab mereka melihat politik ini hanyalah medan untuk berpencak tetapi mereka ada percaturan di luar politik.

“Benda itu yang kita perlu tengok. Umat Islam perlu lihat jika mahu selesaikan masalah, kita tidak boleh duduk di dalam itu. Kita tidak boleh bergantung permainan dalam itu, kita kena bergantung luar daripada politik kepartian.

“Kita kena duduk bersatu berbincang untuk melihat di mana dan kita hendak ke mana serta apakah ancaman yang sedang berlaku pada hari ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button