Berita UtamaDunia

Puluhan ribu solat Jumaat di Hagia Sophia

Erdogan membaca al-Quran sebelum solat Jumaat dimulakan

ISTANBUL, 3 Zulhijjah 1441H, Jumaat – Setelah lebih 80 tahun beroperasi sebagai muzium, Hagia Sophia di Istanbul hari ini dibuka semula sebagai masjid.

Puluhan ribu rakyat dari Turki, Eropah dan Timur Tengah berkumpul untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Hagia Sophia yang berusia 1,483 tahun untuk pertama kalinya dalam tempoh 86 tahun, malah Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan turut menyertai para jemaah menunaikan ibadah itu.

CNN Turki melaporkan, beberapa orang datang dari luar Istanbul bermalam di sekitar Hagia Sophia untuk menantikan solat Jumaat.

Pembukaan semula masjid bermula pada pukul 8 pagi waktu tempatan dengan bacaan al-Quran.

Siaran televisyen Turki menunjukkan umat Islam bersolat di dalam dan sekitar masjid pada Jumaat pagi.

Menurut Pengarah Hal Ehwal Agama, Ali Erbas, hanya 500 orang yang dijemput masuk ke dalam bangunan susulan sekatan coronavirus, sementara ribuan lagi menunaikan solat di taman dan di Sultanahmet Square, di bandar lama Istanbul.

Erdogan dilaporkan membaca ayat suci al-Quran sebelum solat Jumaat dimulakan.

Istanbul mengumumkan, kawasan berasingan telah didirikan bagi lelaki dan wanita untuk beribadah, sementara 736 anggota kesihatan, 101 ambulans dan helikopter ambulans ditempatkan dalam keadaan berjaga-jaga di 17 balai kesihatan.

Hagia Sophia kali pertama dibangunkan sebagai gereja ketika Empayar Rom Timur pada abad keenam tetapi diubah menjadi masjid selepas penaklukan Uthmaniyyah di Konstantinopel pada tahun 1453. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button