Berita Utama

Isu arak: Reaksi MCA pamer sikap pentingkan diri sendiri

Larangan dibuat bukan suka-suka tapi demi keselamatan semua pihak

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 3 Rabiulakhir 1443H, Isnin – Sikap yang dipamerkan MCA apabila menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pelaksanaan larangan penjualan minuman keras menampakkan parti itu pentingkan diri sendiri.

Sepatutnya usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan larangan tersebut diraikan kerana mampu membentung gejala yang tidak diingini berlaku terhadap masyarakat sekitar.

Presiden Pertubuhan Pembangunan dan Inovasi Wanita (WADI), Sukmamurni Abdul Manaf berkata, MCA sebagai sebuah parti politik perlu mengambil peduli akan kebajikan orang lain dan bukan bersikap sebaliknya.

“Bagaimana mahu jadi pemimpin jika perkara yang membawa kebaikan seperti ini pun dihalang, sedangkan tujuan utama dilakukan kerajaan bukan suka-suka sebaliknya elak daripada kerosakan berterusan demi kesihatan rakyat.

“Larangan yang dilaksanakan ini bukanlah sesuatu ganjil kerana ia juga dilaksanakan dalam pelbagai bentuk dasar dan undang-undang di negara-negara maju lain seperti Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan Afrika Selatan.

“Tetapi apa yang ditonjolkan pemimpin MCA yang lantang menolak larangan ini dilihat seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul, ini sikap tidak tepat, seharusnya mereka menjadi contoh teladan supaya menyokong ke arah usaha kebaikan bukannya berterusan membiarkan diri dalam kerosakan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Sukmamurni menyifatkan tindakan DBKL meneruskan larangan penjualan minuman keras di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina sebagai penting dalam usaha menjaga keselamatan rakyat.

“Kita tahu, arak langsung tidak membawa kebaikan sebaliknya menyusahkan rakyat, lagipun harga minuman keras itu dijual dengan harga yang tinggi yang menyebabkan boleh jejaskan ekonomi seseorang jika diambil secara berterusan

“Tidak timbul isu menghadkan perniagaan seseorang jika larangan diteruskan kerana isu kesihatan rakyat perlu diutamakan dalam perkara ini,” ujarnya.

Justeru, WADI menggesa kerajaan terus tegas dalam menguatkuasakan pelaksanaan undang-undang berkenaan demi aspirasi Keluarga Malaysia yang diimpikan oleh kerajaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button