Berita Utama

RUU 355: Hadi sangkal dakwaan tidak bersedia

Negeri bawah PAS sudah laksana melalui Enakmen Syariah

MARANG, 3 Zulhijjah 1441H, Jumaat – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyangkal dakwaan yang menyatakan parti itu belum bersedia sewaktu mencadangkan pelaksanaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016, atau lebih dikenali sebagai RUU 355.

Beliau sebaliknya berkata, negeri-negeri di bawah pentadbiran parti itu iaitu di Terengganu dan Kelantan sudah melaksanakannya melalui peruntukan Enakmen Syariah yang ada.

“Dia mana tahu? Terengganu sudah ada undang-undang. Kelantan pun sudah ada, cuma (tinggal di peringkat) Perlembagaan (Persekutuan) sahaja.

“Saya difahamkan Negeri Sembilan pun ada juga, Sabah pun ada kalau tak silap saya. Cuma (tinggal) proses Perlembagaan,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Exco Agama Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Abu Hafiz Salleh Hudin yang menyatakan PAS tidak mempunyai persiapan teknikal dari segi perundangan mahupun hujah agama ketika mencadangkan RUU 355.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi dalam nada bergurau turut menyatakan kenyataan itu dibuat oleh budak (anak muda) yang masih baharu.

“Cuma dia tak baca habis.. budak lagi (anak muda). Dia tak sempat dengan tahun 1990-an. Kita tahun 1990-an sudah selesai (pinda Enakmen Syariah di Terengganu dan Kelantan),” katanya.

Abdul Hadi membentangkan RUU 355 buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016 sebagai RUU persendirian, bagaimanapun perbahasan mengenainya ditangguhkan dan versi yang disemak semula dibentangkan pada November 2016 dan April 2017.

RUU 355 bertujuan meningkatkan bidang kuasa penghukuman mahkamah syariah bagi kesalahan jenayah syariah, namun ia hanya di peringkat mengemukakan usul tanpa perbahasan.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai agihan kerusi antara Perikatan Nasional (PN), Abdul Hadi berkata, rundingan di antara ketiga-tiga parti itu masih berlangsung dan tidak timbul soal negeri idaman parti-parti tertentu.

“Tidak timbul (isu negeri idaman parti-parti tertentu) kerana perbincangan dibuat melibatkan pimpinan tertinggi parti dan bukannya peringkat negeri,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan PN memiliki kaedah dan formula tersendiri dalam mencapai kata putus berkaitan isu agihan kerusi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close