Berita Utama

RUU355: PAS, UMNO mahu restu MCA dahulu?

Rakyat menilai jika PAS mula berhelah dalam perjuangan asal

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 3 Zulhijjah 1441H, Jumaat – Inilah masa yang tepat untuk PAS membawa Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 atau RUU355 ke Parlimen, dan bukannya berdolak-dalih.

Ketua Penerangan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim berkata, jika PAS senyap dan sentiasa berhelah, maka masyarakat sudah boleh menilai serta memberi markah kepada perjuangan PAS sama ada ia perjuangan berprinsip atau sebaliknya.

“Kita boleh bercakap bila-bila masa bahawa perjuangan kita adalah perjuangan berprinsip, tetapi kita harus sedar juga bahawa kita terus dinilai oleh setiap lapisan masyarakat.

“Apakah kata-kata kita itu sejajar dengan perbuatan atau tindakan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas jawapan Parlimen oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang juga Exco Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Marzuk Shaary bahawa sebarang cadangan penambahbaikan berkaitan penggubalan undang-undang perlu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ahmad Marzuk menjawab pertanyaan lisan Anggota Parlimen Tampin, Hasan Bahrom, berkenaan sama ada kerajaan berhasrat untuk membentangkan RUU tersebut buat kali kedua, serta bila ia akan dibuat dan bagaimana ia akan dilaksanakan.

Selain itu, Hasan juga meminta kerajaan menjelaskan sebab jika ia tidak berhasrat untuk berbuat demikian.

Mengulas respon timbalan menteri itu, Ustaz Zamani berkata, beliau amat berharap dengan terbentuknya Muafakat Nasional (MN) ini, ia akan menjadi lebih bertenaga, malah setiap pemimpin UMNO dan PAS lebih berwibawa untuk memperkasakan agenda ummah dan negara, termasuk RUU355.

“Saya tidak nampak halangan yang besar untuk membawa RUU355 ini sebabnya sudah menjadi kerajaan kecuali UMNO dan PAS (MN) masih nak merujuk kepada MCA dan mendapatkan restunya,” katanya.

Beliau menasihatkan, pemimpin-pemimpin di dalam MN supaya tidak membawa agenda kepartian. 

“Lihat DAP walaupun diberi peluang 22 bulan menjadi kerajaan, mereka tidak teragak agak membawa agenda bangsanya, mohon pemilikan tanah sampai 999 tahun. 

“Berjaya atau tidak itu bukan persoalan tetapi semangat bersungguh sungguh itu yang ditonjolkan okeh mereka kepada bangsa mereka,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close