Berita Utama

Tukar nama Bukit St Paul, Melaka tunggu laporan penuh

Kerajaan perlu teliti, adakan perbincangan dengan banyak pihak

MELAKA, 3 Zulhijjah 1441H, Jumaat – Kerajaan Melaka masih menunggu laporan penuh daripada pihak berkenaan berhubung usul cadangan menukarkan nama Bukit St Paul kepada Bukit Melaka.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, kerajaan negeri perlu meneliti lebih dalam dan mengadakan perbincangan dengan banyak pihak sebelum memutuskan apa jua cadangan mana-mana pihak.

“Buat masa ini saya sedang menunggu laporan daripada Exco berkenaan (Exco Pelancongan Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis),” katanya ringkas kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Sebelum ini, Sulaiman pernah memaklumkan bahawa isu menukar nama Bukit St Paul di Bandar Hilir di sini bukanlah satu keputusan yang mudah memandangkan ia perlu diperhalusi secara mendalam.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak pernah menolak sebarang cadangan atau hasrat yang diberikan mana-mana pihak, namun untuk melakukan suatu perubahan drastik, ia memerlukan satu rundingan dan perbincangan di meja mesyuarat.

“Kita juga perlu melihat kesan atau impak penukaran nama itu kepada Melaka yang terkenal sebagai negeri pelancongan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button