Dunia

China laku ‘genosid’ kawal kadar kelahiran Uyghur

Miliki anak ramai jadi sebab kukuh dihantar ke kem tahanan

KERAJAAN komunis China mengambil pendekatan drakonian dalam mengurangkan kadar kelahiran etnik Uyghur sebagai sebahagian daripada usaha mengekang perkembangan populasi umat Islam.

Hasil kaji selidik dijalankan oleh agensi berita AP, ketetapan baharu itu jauh lebih meluas dan sistematik berbanding yang pernah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini.

Kaji selidik itu berdasarkan temu ramah bersama 30 bekas tahanan Uyghur, ahli keluarga dan tenaga pengajar kem tahanan, selain statistik kerajaan serta dokumen negeri.

Kempen yang mula dijalankan sejak empat tahun lalu di Barat wilayah Xinjiang itu digelar segelintir pakar sebagai ‘genosid demografi’.

Kerajaan didakwa, secara berkala melakukan pemeriksaan terhadap kaum wanita golongan minoriti berkenaan dengan mewajibkan mereka melakukan pemeriksaan kehamilan selain menggugurkan janin ratusan ribu ibu hamil.

AP juga mendapati, memiliki anak yang ramai menjadi sebab utama seseorang dihantar ke kem tahanan, melainkan mereka mampu membayar denda yang amat tinggi.

Gulnar Omirzakh menceritakan, selepas bersalin anak ketiga kerajaan mengarahkan dia untuk menggunakan alat mencegah kehamilan.

Bagaimanapun, dua tahun kemudian, pada Januari 2018, empat pegawai tentera datang mengetuk pintu rumahnya dan mengarahkan Gulnar membayar denda A$2,685 kerana memiliki anak lebih daripada dua orang.

Jika gagal membayarnya, Gulnar akan dikenakan tahanan kem seperti mana yang berlaku kepada suami dan jutaan etnik Uyghur lain.

“Menghalang masyarakat untuk memiliki anak yang ramai merupakan satu perbuatan yang salah, mereka mahu menghapuskan kami sebagai manusia,” katanya.

Bagi menyelesaikan denda berkenaan, Gulnar terpaksa meminjam dan kemudiannya melarikan diri ke Kazakhstan.

Menurut statistik dikeluarkan kerajaan, jumlah kelahiran etnik Uyghur khususnya di Hotan dan Kashgar naik sehingga 60 peratus dari tahun 2015 sehingga 2018.

Berjuta-juta dolar disalurkan kerajaan ke Xinjiang dalam usaha mengawal kelahiran sehingga wilayah yang suatu ketika menjadi kawasan menerima peningkatan penduduk paling mendadak kini menjadi paling perlahan.

“Ini adalah genosid, ia tidak berlaku dengan cepat, mengejut atau pembunuhan besar-besaran.

“Ia berlaku perlahan, menyakitkan dan genosid mengerikan,” kata pakar dari Universiti Newcastle, Joanne Smith Finley. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button