Berita Utama

MCA harap kerajaan Melaka campur tangan isu Bukit St Paul

Parti itu dakwa bantah tukar nama bukan agungkan penjajah

BANGI, 4 Zulhijjah 1441H, Sabtu – Selepas teruk dibidas kerana membantah usul penukaran nama Bukit St Paul kepada Bukit Melaka, MCA kini berubah nada dalam isu berkenaan.

Sedangkan sebelum ini, Naib Pengerusi MCA Kota Melaka, Datuk Ronald Gan mendakwa, tindakan mengubah ikon sejarah itu sebagai tidak masuk akal dan tetap mahu nama sekarang dikekalkan.

Kenyataan Ronald Gan itu ternyata mencetuskan rasa kurang senang ramai pihak, sehingga petisyen menyokong penukaran nama bukit itu dilancarkan.

Bagaimanapun, Ronald Gan hari ini dilaporkan mendakwa, bantahannya terhadap usul itu bukanlah kerana mahu mengagungkan penjajah dan tidak berlandaskan kepada emosi semata-mata atau untuk mencetuskan isu perkauman.

Beliau mendakwa, tindakannya itu dibuat semata-mata untuk memelihara nama Melaka yang tersenarai sebagai Bandaraya Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Sejak dahulu lagi nama Bukit St Paul sudah digunakan. Jadi, tiada keperluan untuk mengubah sejarah yang tercipta sejak sekian lama.

“Ini bukan isu perkauman atau bangsa, tapi kita nak generasi akan datang tahu mengenai nama bukit yang sudah wujud sekian lama ini,” katanya seperti dilapor Sinar Harian, hari ini.

Ronald Gan turut menolak dakwaan nama Bukit St Paul adalah untuk mengagungkan gereja, memandangkan ia hanyalah rangka bangunan sahaja dan bukan tempat ibadat.

Justeru, beliau berharap kerajaan negeri Melaka dapat campur tangan terhadap perkara itu bagi memastikan nama Bukit St Paul dikekalkan.

Semalam, Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali dilaporkan berkata, kerajaan negeri masih menunggu laporan penuh berhubung usul Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) itu, selain perlu meneliti lebih mendalam sebelum memutuskan sebarang cadangan mana-mana pihak.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button