Berita Utama

Azalina serah mahkamah isu cabar pelantikan Speaker

'Saya tidak melihat terdapat mana-mana pelanggaran peraturan'

KUALA LUMPUR, 4 Zulhijjah 1441H, Sabtu – Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman Said menyerahkan kepada mahkamah untuk mengadili tuntutan saman yang dikemukakan terhadap beliau dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun.

Bagaimanapun Azalina menegaskan peletakan jawatan Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berlaku sebelum usul pelantikan dirinya dibaca di bawah Peraturan Mesyuarat 6 Dewan Rakyat.

“Justeru, saya tidak melihat terdapat mana-mana pelanggaran Peraturan Mesyuarat atau Perlembagaan berlaku.

“Memandangkan perkara pada masa ini berada dalam pertimbangan mahkamah, saya juga sebagai seorang pengamal undang-undang, menyerahkan kepada pihak mahkamah bagi mengadili perkara tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azalina juga berkata Perkara 63 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa sebarang prosiding dalam majlis Parlimen atau jawatankuasa yang ada tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah.

Jelasnya situasi sama dapat dilihat dalam kes mahkamah tertinggi membabitkan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V Sivakumar dan Datuk R Ganesan.

“(Dalam kes itu) mahkamah memutuskan bahawa sesuatu yang tidak boleh dipertikaikan ialah Dewan mempunyai kuasa untuk memilih atau memecat speaker dan isu siapa yang dilantik secara sah sebagai speaker adalah terletak di luar bidang kuasa mahkamah untuk membuat penghakiman,” katanya.

Pada Khamis, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama empat lagi plaintif memfailkan tindakan undang-undang bagi mencabar kesahihan pelantikan Azhar dan Azalina bagi kedua-dua jawatan itu.

Turut dinamakan sebagai plaintif ialah bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, Ahli Parlimen Kubang Pasu Datuk Wira Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.

Mereka memohon deklarasi bahawa kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat sejak 13 Julai lepas masih kosong dan pelantikan Azhar dan Azalina itu adalah tidak sah kerana ia tidak berperlembagaan dan/atau bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan/atau Peraturan 3,4, 6 dan 47 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan/atau kedaulatan undang-undang. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button