Berita Utama

Pesuruhjaya PAS, Setiausaha PN antara calon MB Perak PN

Pernah berkhidmat dalam kerajaan negeri terdahulu

TAMPIN, 14 Rabiulakhir 1444H, Rabu – Perikatan Nasional (PN) akan mengemukakan beberapa nama yang sesuai untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar Perak, sekiranya parti itu mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15. (PRU15).

Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, antara nama yang akan disenaraikan ialah Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

“Kedua-dua calon itu mempunyai pengalaman luas dan pernah berkhidmat sebagai exco dalam kerajaan negeri terdahulu,” katanya.

Katanya, senarai calon itu akan dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah terlebih dahulu untuk perkenan baginda.

“Apabila kita berjaya untuk membentuk kerajaan, kita akan persembahkan kepada tuanku sultan, ini adalah prerogatif tuanku untuk menentukan.

“Kita tak hendak terjadi penderhakaan kepada sultan dalam kita nak menunjukkan calon Menteri Besar kita,” katanya.

Bagaimanapun Faizal berkata, di negeri-negeri lain terpulang sama ada untuk mengumumkan calon menteri besar masing-masing.

Terdahulu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara terbuka mengumumkan akan mengangkat Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Menteri Besar Pahang sekiranya diberikan mandat di negeri tersebut.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button