Berita Utama

Bukit St Paul: Kenyataan KM Melaka hambar, apa ditakutkan sangat?

Bimbang kerajaan lebih cenderung jaga MCA dari pegang prinsip

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 4 Zulhijjah 1441H, Sabtu – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Melaka mendesak, kerajaan negeri bersikap tegas dan berpegang kepada prinsip terhadap cadangan penukaran nama Bukit St Paul kepada Bukit Melaka.

Ketua Perhubungan Negeri ISMA Melaka, Ustaz Ir Mohd Khoushaini Mohd Naim menyifatkan, kenyataan Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali semalam, hambar dan tidak mencerminkan semangat rakyat yang mahukan perubahan kepada tempat bersejarah itu.

Walaupun kerajaan negeri masih menunggu laporan penuh berhubung cadangan itu, beliau berkata, hujah untuk meneliti impak penukaran kepada Melaka sebagai negeri pelancongan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Penukaran nama Inggeris kepada nama Melayu selepas kemerdekaan adalah perkara biasa bagi mengembalikan identiti sejarah tanah air tercinta.

“Ini bukan kali pertama, sudah banyak tempat pelancongan lain seperti Port Swettenham ditukar kepada Pelabuhan Klang (1972), Jesselton ditukar kepada Kota Kinabalu (1967), Port Weld ditukar kepada Kuala Sepetang, Teluk Anson kepada Teluk Intan dan Bukit Maxwell kepada Bukit Larut,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Semalam, Sulaiman dilaporkan berkata, kerajaan negeri masih menunggu laporan penuh berhubung usul Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) itu, selain perlu meneliti lebih mendalam sebelum memutskan sebarang cadangan mana-mana pihak.

Sebelum ini, beliau pernah memaklumkan bahawa isu menukar nama Bukit St Paul di Bandar Hilir bukanlah satu keputusan yang mudah memandangkan ia perlu diperhalusi secara mendalam.

Mengulas lanjut, Mohd Khoushaini bimbang kerajaan negeri – yang ditadbir Perikatan Nasional (PN) – lebih cenderung menjaga rakan sekutu MCA berbanding berpegang teguh kepada prinsip, sejarah dan jati diri negara.

“Apa yang nak ditakutkan sangat? Kenapa perlu dipertahankan nilai penjajah ini? Bukankah PN sudah pun ada majoriti dan kuasa?

“Apa kata gunakan kuasa itu untuk menjaga dan mendaulatkan syiar Islam, Melayu dan raja, teras kepada negara ini,” katanya.

Beliau berkata, sehingga ke hari ini sudah banyak kenyataan yang dibuat oleh gabungan NGO dan individu menandakan sokongan penuh rakyat kepada sejarah serta identiti asal negara.

“Petisyen yang dibuat juga telah mengumpulkan hampir 15,000 tandatangan rakyat seluruh negara.

“Majoriti rakyat yang sayangkan identiti negara diseru menyokong penuh cadangan PERZIM ini.

“Kita desak kerajaan PN buktikan mereka benar-benar memperjuangkan agenda Melayu dan Islam, bukan sebaliknya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button