Berita Utama

Isu kuil: Ramasamy jangan mainkan api perkauman

Bawa bertenang, perlu bertindak mengikut lunas perundangan

BANGI, 4 Zulhijjah 1441H, Sabtu – Pemimpin parti tamak haloba DAP, P Ramasamy tidak sewajarnya mengeluarkan sebarang kenyataan yang tidak bertanggungjawab seolah-olah mahu mengapi-apikan kemarahan.

Sebaliknya, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu perlu mengajak kaumnya bertenang dan bertindak mengikut undang-undang, kata Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Haji Omar Kassim.

“Seruan yang ditulis seolah-olah menyuruh kaum India untuk merusuh, sedangkan siasatan sebenar mengapa pohon tersebut ditebang tidak dinyatakan,” katanya.

Ustaz Omar berkata demikian dipercayai merujuk kepada bantahan Ramasamy terhadap kerajaan negeri Kedah yang bertindak menebang Pokok Ara Suci di Jalan Stesen, Alor Setar yang juga lokasi Kuil Mathurai Veeran yang dirobohkan sebelum ini.

Ramasamy menyifatkan, kerajaan negeri bertindak kejam dan bertentangan dengan alam sekitar apabila menebang pokok berkenaan.

“Ini adalah satu tindakan yang diambil untuk membalas dendam terhadap penganut-penganut Hindu yang menyembah tuhan mereka di bawah kanopi pokok suci bersejarah dan berwarisan ini.

“Dua minggu yang lalu, Kuil Sri Mathurai Veeran di Jalan Stesen telah dirobohkan di bawah pemerintahan kerajaan PAS dan kini pokok yang wujud selama beratus-ratus telah ditebang. Adakah terdapatnya keperluan yang mendesak untuk menebang pokok berusia seratus tahun ini?

“Adakah kerajaan negeri Kedah tidak mengamalkan pemeliharaan warisan? Adakah kerajaan negeri tidak memberi kepentingan kepada amalan pemeliharaan flora yang berwarisan dan berusia ratusan tahun” soalnya.

Dalam kenyataan berasingan, beliau berkata, tindakan untuk menebang pokok-pokok seperti ini perlu dipertimbangkan dengan sebaik-baiknya sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan diambil.

“Kerajaan negeri Kedah perlu mempertimbangkan kepentingan semua pihak dan tidak harus mengambil tindakan bagi memenuhi kepentingan diri sendiri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button