Berita Utama

KPKT akur jika pilihan raya PBT tak diluluskan kerajaan: Zuraida

Kementerian sasar bentang usul di Dewan Rakyat pertengahan 2021

KUALA LUMPUR, 4 Zulhijjah 1441H, Sabtu – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akur sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) memutuskan untuk tidak meluluskan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, bagaimanapun KPKT berpandangan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah penting bagi rakyat dan sebarang cadangan daripada mana-mana pihak, khususnya ahli parlimen PN yang lantang mengkritik sebelum ini, amat dialu-alukan. 

“Saya tidak boleh menyekat mereka daripada berkata apa-apa, bagaimanapun ada tanggungjawab untuk kita pastikan mereka (tahu) apa (yang ada) di sebalik harapan untuk melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan,” katanya kepada pemberita selepas hadir di Program Jelajah [email protected] daerah Hulu Langat, hari ini.

Zuraida sebelum ini berkata, kementeriannya menyasarkan untuk membentangkan usul pilihan raya PBT di Dewan Rakyat pada pertengahan 2021.

Menurutnya, kementerian masih dalam penyediaan kertas kabinet dan membentuk dua jawatankuasa berkaitan pilihan raya yang dijangka menelan kos RM2 juta bagi setiap PBT dan RM308 juta secara keseluruhan yang merangkumi 154 PBT.

Mengenai Program Jelajah [email protected], Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata selain Hulu Langat, tujuh lokasi lain dipilih untuk menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat setempat bersempena bulan Kemerdekaan, antaranya Ukay Perdana, Bukit Antarabangsa, Kampung Melayu Ampang dan Taman Rasmi Jaya.

Program  di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) itu juga merupakan program turun padang dan sesi libat urus JaPen bersama rakyat dalam memasarkan maklumat mengenai dasar, inisiatif dan pencapaian kerajaan.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button