Pilihan raya PBT: Musibah politik bawa agenda perpecahan
Kasihani rakyat, bangunkan ekonomi selepas merudum akibat COVID-19
Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
BANGI, 4 Zulhijjah 1441H, Sabtu – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) wajib berhenti daripada meneruskan hasrat melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan yang dipercayai akan menambahkan lagi musibah kepada negara.
Menegaskan perkara itu, Naib Pengerusi PEMBELA, Ustaz Masrizi Sat berkata, kerenah pilihan raya akan menyusahkan lagi kerajaan yang berhadapan dengan kemelesetan ekonomi susulan COVID-19.
“Justeru, kita syor hentikan segera sebelum rakyat bertindak berikutan tidak mahu lagi dibebankan isu menjijikkan. Rakyat sudah bosan dengan isu permainan politik yang tiada hentinya ini.
“Rakyat memerlukan kepada pemulihan ekonomi, sektor pembangunan masyarakat dan negara serta kebajikan bagi membantu golongan susah. Oleh itu, agenda untuk pembangunan rakyat mesti diutamakan.
“Segala polemik politik yang tidak ada hentinya ini mesti ditamatkan. Sebarang pihak yang cuba mewujudkan lagi polemik politik yang tidak berkesudahan ini adalah mereka yang akan menambahkan lagi musibah dan bencana serta perpecahan dalam negara kita,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Dalam pada itu, Ustaz Masrizi mempersoalkan, sama ada pihak yang ingin melaksanakan pilihan raya berkenaan ingin menambahkan lagi perpecahan rakyat.
“Adakah mereka gembira dengan keadaan ekonomi yang merosot akibat musibah COVID-19? Adakah agenda mereka ingin memberikan ruang seluasnya kepada golongan yang menguasai bandar khususnya bukan Islam untuk menguasai ibu kota di dalam negeri dan negara.
“Jika itu agendanya, maka mereka tidak menjadi pembela kepada kepada bangsa dan negara, sebaliknya sibuk melayan kerenah yang boleh memberi mudarat besar kepada agama bangsa dan tanah air,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin memaklumkan kepada sidang Parlimen bahawa KPKT masih meneruskan hasrat melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan.
Beliau menjelaskan pihak kementerian masih dalam penyediaan kertas Kabinet dan membentuk dua jawatankuasa berkaitan pilihan raya itu.
Zuraida turut menetapkan sasaran untuk membentangkan usul pilihan raya kerajaan tempatan dalam sidang Parlimen pada pertengahan tahun 2021.
Bagaimanapun NGO Melayu Islam, ahli akademik serta beberapa parti politik membantah hasrat pelaksanaan berkenaan.