Berita Utama

PRU-15: Berubahlah, jangan lagi diperbodoh orang politik

Pengundi berhak pilih pemimpin berwibawa walau dari calon Bebas

BANGI, 4 Zulhijjah 1441H, Sabtu – Sudah tiba masa minda rakyat sebagai pengundi berubah ke arah yang lebih matang dan bukan lagi sebagai pak turut, demikian kata Ketua Media Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Haji Rashidi Haris.

Beliau yang berpandangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sebagai medan terbaik memilih calon berwibawa berkata, tidak salah rakyat memilih individu bukan dari parti yang disukai.

“Jangan pula sampai kita taksub pada parti sehingga sanggup dicatur oleh ahli-ahli politik untuk kepentingan mereka.

“Kita tidak menjangka bila PRU-15, namun kita mesti bersedia dari sekarang bagi menunaikan hak kewajipan kita sebagai pengundi yang bebas dalam memilih pemimpin yang berwibawa meskipun daripada kalangan calon Bebas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Komunikasi dan Multimedia PEMBELA turut mengingatkan, pengundi supaya berani membuat perubahan kepada yang lebih baik demi masa depan generasi akan datang.

“Jika pemimpin hari ini begitu dinamik bermain politik maka sebagai pengundi tepuk dada tanya hati masing-masing, sampai bila kita hendak diperbodohkan oleh ahli-ahli politik korupsi yang meletakkan kepentingan perut mereka tanpa benar-benar mahu membela rakyat dan negara,” katanya.

Pada masa sama, Haji Rashidi menggesa, rakyat berani mengundi calon yang benar-benar mahu membela kebajikan rakyat, meskipun terperangkap dalam keadaan terpaksa mengundi calon Bebas asalkan pro-Muafakat Nasional (MN).

“Ini kerana sekali pun ia seorang calon Bebas namun akhirnya tetap akan berkerjasama juga dengan mana-mana parti yang menang,” katanya.

Selain itu, beliau tidak menolak kemungkinan keadaan sedemikian berlaku apabila calon wakil rakyat yang diletakkan di suatu kawasan itu adalah semata-mata untuk kepentingan parti atau gabungan mereka sahaja, bukan untuk kepentingan negara serta rakyat.

“Sebagai contoh, sekiranya kawasan itu jelas majoritinya adalah orang Melayu tetapi mereka daripada pimpinan tertinggi parti atau gabungan meletakkan calon bukan Islam sebagai calon dengan tujuan menjaga kepentingan kerjasama parti-parti yang ada dalam gabungan mereka.

“…malah ada yang bukan dari anak watan di kawasan itu, apakah kita sebagai pengundi harus mengikut kehendak ahli-ahli politik ini?

“Begitu juga seorang ahli politik yang dicalonkan – kita sedia maklum dengan latar belakang peribadinya yang penuh dengan sejarah maksiat dan salah laku, apakah kita perlu juga memilih mereka hanya kerana mereka hendak menjaga kepentingan sesama parti-parti dalam gabungan mereka?,” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button