Qatar bayar bantuan bulanan kepada 100,000 keluarga Gaza
Setiap keluarga terima AS$100 secara berperingkat hingga Rabu
ABU DHABI, 4 Zulhijjah 1441H, Sabtu – Jawatankuasa Qatar bagi Pembangunan Semula Gaza mengumumkan pembayar bantuan tunai kepada 100,000 keluarga Palestin di Semenanjung Gaza bermula hari ini, lapor agensi berita negara itu.
Ketuanya, Mohammed Al-Emadi berkata, bantuan itu dibayar untuk keluarga Gaza yang bekerjasama dengan Dana Pembangunan Qatar.
Al-Emadi berkata, bayaran bantuan sebanyak AS$100 (RM426) akan dibuat melalui pejabat pos di Semenanjung Gaza untuk 100,000 keluarga, yang dilakukan secara berperingkat sehingga Rabu.
Katanya, semua langkah keselamatan diambil sepanjang proses penyaluran bantuan, bagi mencegah penularan wabak COVID-19.
Sejak November 2018, jawatankuasa berkenaan telah membayar bantuan bulanan dan membiayai program pembangunan di Gaza, sebagai sebahagian daripada usaha dalam menghentikan aktiviti Great March of Return.
Gaza telah berada di bawah pengepungan ketat rejim pengganas Israel sejak tahun 2007 dan mengalami tiga perang yang merencatkan pembangunan wilayah itu. – Agensi