Berita UtamaDunia

Situasi pemerdagangan manusia Libya serius, ngeri: UNHCR

Kebanyakan pelarian, pendatang berjaya larikan diri kurang zat

NEW YORK, 4 Zulhijjah 1441H, Sabtu – Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) mengucapkan takziah di atas kematian seorang pencari suaka muda dari Eritrea di Tripoli, minggu ini.

Mangsa yang kelihatan seperti kekurangan zat itu tiba di Pusat Komuniti UNHCR di Tripoli pada 20 Julai, untuk mendapatkan bantuan perubatan bersama dengan seorang lelaki Eritrea yang lain.

Ekoran itu, agensi berkenaan meminta pembaharuan tindakan terhadap kumpulan penyeludup dan pemerdagangan manusia yang menyebabkan penderitaan kepada pelarian, pencari suaka dan pendatang di Libya.

“Seorang dikenal pasti memerlukan rawatan perubatan segera, dan ambulans telah pun dipanggil, namun malang individu berkenaan meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital.

“Usaha untuk menyelamatkannya tidak berjaya,” kata UNHCR dalam satu kenyataan, semalam.

Kedua-dua lelaki itu sebelumnya ditahan sindiket pemerdagangan manusia di Bani Walid, sebuah bandar di Barat Laut Libya.

Kumpulan penyeludupan dan jenayah pemerdagangan sebelum ini pernah didedahkan, beroperasi di Libya sehingga menyebabkan tahanan menderita.

Sejak Jun, lebih daripada 100 individu tiba di Tripoli dari pusat pemerdagangan manusia di Bani Walid dalam keadaan fizikal yang tidak baik serta memerlukan bantuan.

UNHCR dan agensi lain memberikan rawatan perubatan serta sokongan keperluan asas kepada mangsa-mangsa ini, bagaimanapun ramai yang mengalami trauma dan memerlukan rawatan khusus dan sokongan psikososial yang dalam konteks semasa, sukar diberikan di Libya.

Selain itu, UNHCR turut mengalu-alukan langkah diambil pihak berkuasa Libya, baru-baru ini terhadap kumpulan bersenjata dan pemerdagangan manusia, termasuk membekukan aset mereka.

“Kami meminta masyarakat antarabangsa untuk memberikan lebih banyak sokongan kepada pihak berkuasa dalam usaha mereka melawan rangkaian pemerdagangan manusia.

“UNHCR tetap prihatin terhadap ratusan orang yang dianggap masih dalam keadaan mengerikan di kem penyeludupan dan pemerdagangan manusia di Mizdah, Bani Walid dan tempat lain,” katanya.

Selain dari mangsa yang ditahan di kem pemerdagangan manusia, UNHCR memaklumkan lebih daripada 2,000 pelarian dan pendatang ditahan di pusat tahanan rasmi tanpa semakan kehakiman.

“UNHCR bersedia menyokong pihak berkuasa Libya dalam mengenal pasti dan melaksanakan alternatif penahanan di Libya dan mengakhiri penahanan sewenang-wenangnya pelarian dan pencari suaka.

“UNHCR menantikan pembukaan semula laluan perjalanan antarabangsa yang akan membenarkan kita memperbaharui penempatan semula dan pemindahan bagi mereka yang sangat memerlukan serta pulangan kemanusiaan sukarela bagi mereka yang ingin kembali ke rumah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button