Berita Utama

13 bot nelayan asing ditenggelam sehingga Julai tahun ini

Ia sebagai amaran tidak sewenangnya boleh menceroboh

KOTA BHARU, 5 Zulhijjah 1441H, Ahad – Sehingga Julai tahun ini 13 bot nelayan asing yang ditahan kerana menceroboh perairan negara ini sudah dilupuskan, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II (MAFI) Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Beliau berkata tindakan melupuskan bot pukat tunda dan pukat jerut itu adalah sebagai amaran kepada nelayan asing agar tidak sewenang-wenangnya melakukan pencerobohan bagi menangkap ikan di perairan negara ini.

Katanya pada masa sama, bot yang dilupuskan secara ditenggelamkan itu akan menjadi tukun tiruan bagi pembiakan ikan dan menghalang pencerobohan bot pukat tunda di kawasan lima batu nautika.

“Pihak kementerian amat prihatin berkaitan isu pencerobohan bot nelayan asing ke perairan negara yang mengakibatkan ketirisan hasil laut dianggarkan bernilai RM6 bilion setahun dan memberi kesan kepada ekonomi rakyat Malaysia.

Sehubungan itu, MAFI melalui Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) komited melaksanakan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) bagi membanteras pencerobohan bot asing terutamanya di perairan pantai timur Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pelupusan tiga bot nelayan Vietnam di perairan Kuala Besar di sini, hari ini.

Che Abdullah berkata proses pelupusan tiga bot rampasan nelayan asing itu adalah yang telah dilucut hak di bawah Akta Perikanan 1985.

“Kaedah pelupusan bot rampasan asing ini secara ditenggelamkan sebagai tukun tiruan bagi tujuan pemuliharaan sumber stok ikan. Dalam masa yang sama Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT), DOF dapat menjalankan kajian terhadap bot rampasan asing yang dijadikan tukun tiruan dan impak kepada sumber perikanan.

“Di samping itu, pelupusan bot dengan kaedah penenggelaman memberikan manfaat kepada para nelayan kerana ia akan menjadi habitat perikanan yang baru sekali gus dapat menjana ekonomi para nelayan,” katanya.

Jelasnya kerajaan mengharapkan pelupusan bot-bot rampasan ini akan memberi amaran dan pengajaran kepada mana-mana bot asing yang cuba menceroboh perairan Malaysia.

Che Abdullah berkata Rang Undang-Undang (RUU) Perikanan (Pindaan 2019) telah mendapat kelulusan Parlimen bagi meningkatkan kadar denda dan mengekang pencerobohan nelayan asing ke dalam perairan negara iaitu denda maksimum bagi nakhoda bot asing yang menceroboh perairan Malaysia dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM6 juta, selain penalti bagi tiap-tiap anggota kru juga dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM600,000.

“Kerajaan Malaysia begitu komited dalam memerangi isu “penangkapan ikan secara haram, tidak terkawal dan tidak dilaporkan (IUU) dan melalui penubuhan Mesyuarat Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Kerja IUU di peringkat nasional, usaha-usaha ke arah membanteras kegiatan IUU dipertingkatkan.

“Selain itu, kerjasama serantau untuk membanteras penangkapan ikan secara haram (Regional Plan Of Action (RPOA-IUU) juga diperkukuhkan melalui platfom bilateral dengan negara-negara ASEAN terutamanya,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button