Berita Utama

Bukit St Paul: Hujah MCA seolah nafi sejarah Melayu Melaka

Jangan melampau, MCA ‘hidup’ pun kerana ihsan undi orang Melayu

BANGI, 4 Zulhijjah 1441H, Ahad – Hujah MCA dalam mempertahankan pendiriannya membantah usul penukaran nama Bukit St Paul, memperlihatkan seolah-olah parti berasaskan kaum itu cuba menafikan sejarah zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Ia apabila Naib Pengerusi MCA Kota Melaka, Datuk Ronald Gan semalam mendakwa, bantahannya terhadap usul Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) itu bukanlah kerana mengagungkan penjajah atau mencetuskan isu perkauman. 

Ronald Gan mendakwa, tindakannya itu dibuat semata-mata untuk memelihara nama Melaka yang tersenarai sebagai Bandaraya Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Sejak dahulu lagi nama Bukit St Paul sudah digunakan. Jadi, tiada keperluan untuk mengubah sejarah yang tercipta sejak sekian lama,” katanya.

Membidas kenyataan pemimpin MCA negeri itu, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya menyifatkan, hujah Ronald Gan bukanlah mahu mempertahankan sejarah sebaliknya sedang menafikan hak PERZIM sebagai badan berautoriti dalam bidang sejarah tempatan.

“Melihat kepada hujah-hujah mereka juga, apakah mereka cuba menafikan sejarah zaman Kesultanan Melayu Melaka?

“Apabila pimpinan utama MCA negeri (Naib Pengerusi) sendiri mengeluarkan kenyataan, nampaknya ini adalah sesuatu yang sangat serius dan penting bagi parti tersebut.

“Apa sebenarnya motif MCA? Apakah mereka tidak berbangga dengan sejarah kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka dahulu, di mana adanya sejarah melangkaui sejarah kolonial dahulu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan, apakah MCA ‘geli’ dengan nama Melayu, sedangkan menukar nama-nama tempat yang pernah diubah oleh penjajah kepada nama asal bukanlah perkara baharu.

“Atau apakah MCA rasa ini satu isu perkauman? Kamu jangan melampau kerana parti kamu boleh ‘hidup’ sampai sekarang hanya kerana mengemis ihsan undi orang Melayu melalui Barisan Nasional (BN).

“Jangan kamu rasa ‘kebal’ kerana kamu berada dalam Perikatan Nasional. Rakyat terutamanya orang Melayu yang kamu mengemis undi itu sedang memerhati kamu,” katanya.

Pada masa sama, Haji Aminuddin berharap, kerajaan negeri Melaka tidak tunduk kepada MCA dan bertegas menukar nama bukit berkenaan, kerana yakin desakan parti tersebut tidak mewakili rakyat Melaka atau Malaysia.

“Ini adalah satu ujian kepada kerajaan Melaka yang baru dibentuk.

“(MCA) jangan rasa selesa sampai jadi besar kepada sebagaimana DAP besar kepala dulu, kerana ada padahnya bakal menanti,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close