Isu kuarantin: Tolong jadi rakyat Malaysia bertanggungjawab!
Walaupun tak bergejala, 2,897 individu digesa jalani saringan kedua
BANGI, 5 Zulhijjah 1441H, Ahad – 2,897 individu yang diarah menjalani saringan COVID-19 kedua digesa bertanggungjawab dan mengikut arahan yang ditetapkan kerajaan.
Dalam keadaan negara masih belum pulih sepenuhnya daripada pandemik itu, Ketua Angkatan Pemuda Pemudi BERJASA, Hazwan Mohamad kesal apabila terdapat segelintir rakyat yang masih ‘berdegil’, bahkan ingkar arahan kerajaan supaya kuarantin.
Beliau menegaskan, meskipun individu terbabit tidak bergejala COVID-19, namun masih perlu bertanggungjawab mematuhi arahan yang ditetapkan.
“Tolong jadi rakyat Malaysia yang bertanggungjawab. Kau rasa kau sihat ke, tak demam ke, tetap kena pergi jalani saringan kedua,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, kerajaan memberikan tempoh dua hari sehingga esok kepada 2,897 individu yang pulang dari luar negara untuk jalani saringan kedua COVID-19.
Sekiranya masih berdegil, individu terbabit akan ditangkap dan didakwa di mahkamah.