Berita Utama

Kerajaan pastikan luar bandar dapat perkhidmatan terbaik

Bagi capainya program MCS digerakkan oleh kementerian

NABAWAN, 5 Zulhijjah 1441H, Ahad – Kerajaan sentiasa komited memastikan masyarakat di luar bandar dan kawasan pedalaman sentiasa mendapat perkhidmatan terbaik, daripada agensi-agensi kerajaan menerusi penyampaian perkhidmatan kerajaan yang berkesan dan keberkesanan kos.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Arthur Joseph Kurup berkata, bagi memastikan matlamat tersebut tercapai, kerajaan telah menggerakkan program perkhidmatan komuniti bergerak (MCS), satu inisiatif Kementerian Kewangan Malaysia melalui Perbendaharaan Malaysia Sabah (PMS), bagi membawa perkhidmatan-perkhidmatan utama kepada penduduk luar bandar dan komuniti pedalaman di Sabah.

“Antara matlamat pelaksanaan program ini adalah sebagai himpunan kepada pelbagai perkhidmatan bergerak merentasi pelbagai Kementerian, Jabatan dan agensi kerajaan, yang mana antaranya menyasarkan penduduk luar bandar dan pedalaman, yang kurang atau susah mendapat akses kepada perkhidmatan kerajaan dan swasta.

“Ia juga adalah satu platform, membolehkan bantuan kerajaan disalurkan terus kepada kumpulan sasar. Malah program ini juga bertujuan mengumpul dan berkongsi sumber dan kos antara agensi terlibat, agar perbelanjaan kerajaan dapat dijimatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Sara Hidup (BSH) dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN), kepada lebih 500 orang penerima dari mukim Nabawan, di sini hari ini.

Majlis penyerahan BSH dan BPN pada hari ini juga membolehkan lebih 500 penerima yang tidak mempunyai akaun bank, menerima pembayaran bantuan dengan nilai terkumpul sebanyak RM1.1 juta.

Arthur berkata selepas Nabawan, program ini juga akan diteruskan ke kawasan-kawasan lain di Parlimen Pensiangan, iaitu Mukim Pagalungan pada 8 Ogos, Mukim Pensiangan pada 09 Ogos dan diikuti dengan Mukim Tatalaan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button