Dunia

Korban banjir Utara Bangladesh meningkat 111 orang

Hampir 9,500 penduduk jadi mangsa penyakit bawaan air

DHAKA, 5 Zulhijjah 1441H, Ahad – Sekurang-kurangnya 111 orang terkorban akibat banjir buruk yang melanda bahagian Utara Bangladesh selama hampir sebulan, kata pihak berkuasa. 

11 lagi kematian dilaporkan di pelbagai kawasan terjejas banjir di wilayah itu, ketika keadaan semakin buruk sejak bermulanya hujan monsun pada akhir Jun lalu. 

Menurut pihak berkuasa kesihatan negara itu, hampir 9,500 penduduk di kawasan rendah menjadi mangsa penyakit bawaan air. 

Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa menganggarkan hampir satu pertiga daripada Bangladesh terjejas, dan menjangkakan keadaan bertambah buruk kerana hujan lebat berterusan. 

Awal minggu ini, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) berkata, lebih 2.4 juta orang termasuk sekitar 1.3 juta kanak-kanak terkesan akibat bencana itu – dengan 550,000 keluarga hilang tempat tinggal. 

Sementara itu, kes COVID-19 juga terus meningkat di seluruh negara mencecah 221,178 kes dengan 2,520 jangkitan baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam. 

Negara Asia Selatan itu turut mencatatkan 38 kematian lagi sejak sehari lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 2,874 orang. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button