Berita Utama

PATI di depot tahanan imigresen dijaga baik

Walau pendatang haram hak asasi manusia terpelihara

SIK, 5 Zulhijjah 1441H, Ahad – Ditatang bagai minyak yang penuh, itu perumpamaan tepat bagi menggambarkan layanan kerajaan terhadap pendatang tanpa izin, yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen (DTI), kerana menceroboh negara ini.

Mereka yang jelas adalah pendatang haram, tetapi diberikan kemudahan kesihatan, makan dan minum empat kali sehari, serta beberapa keperluan lain, bagi memastikan hak asasi manusia terpelihara sebelum warga asing ini dihantar pulang, ke negara masing-masing.

Seorang wanita Indonesia dikenali sebagai Siti, 40, berkata, beliau diberikan layanan yang baik oleh pihak Imigresen, meskipun masuk ke negara ini secara tidak sah melalui jalan laut.

“Di tempat ini kami (warga asing) diberi makan secukupnya…saya masuk Malaysia sebab ingin bekerja untuk sara anak perempuan umur dua tahun, yang ditinggalkan di Indonesia,” katanya ketika ditemui Bernama di DTI Belantik di sini, semasa liputan media eksklusif Op Benteng.

Op Benteng adalah operasi khas di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF), melibatkan beberapa pasukan keselamatan seperti ATM, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem), untuk mengawal ketat sempadan negara daripada dibolosi pendatang tanpa izin.

Tinjauan di depot itu mendapati, terdapat seorang pegawai perubatan bertugas di tempat itu dari pukul 8 pagi hingga 5 petang, bagi memberi rawatan kepada warga asing yang tidak sihat, dan terdapat ruang pondok telefon disediakan, untuk membolehkan tahanan menghubungi ahli keluarga.

Sementara itu, tahanan lelaki warga Myanmar dikenali sebagai Kyau, 23, pula memuji layanan pihak Imigresen terhadap semua warga asing, yang berada di Depot Tahanan.

“Di sini semua cukup, makan minum semua dijaga…saya kena tahan tahun lepas (2019) kerana tidak ada dokumen sah, dan sekarang sedang tunggu untuk dihantar balik ke Myanmar.

“Saya dulu masuk Malaysia dengan berjalan kaki dari Myanmar dan Thailand,…sampai di sempadan Malaysia saya perlu bayar lebih RM2,000 untuk masuk,” katanya yang fasih berbahasa Melayu.

Dalam pada itu, Pengarah Imigresen Kedah Zuhair Jamaluddin berkata, kerajaan membelanjakan lebih RM3 juta setahun, untuk kos makan dan minum pendatang tanpa izin, yang berada di depot tahanan.

“Kalau ada tahanan yang tidak sihat kami rawat di depot, tetapi jika libatkan penyakit serius, mereka akan dibawa ke hospital berdekatan, untuk rawatan.

“Sebagai contoh ada kes kelahiran di depot tahanan dan pihak imigresen bantu tahanan, dengan memberikan kemudahan yang sewajarnya,” katanya.

Zuhair berkata ketika ini, 1,187 pendatang tanpa izin berada di DTI Belantik dan proses penghantaran pulang mereka ini sedang dilaksanakan, dengan kerjasama kedutaan masing-masing. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close