Berita Utama

Penerima manfaat JKM dijangka meningkat 3 kali ganda

Kini JKM peruntuk RM1.53 bilion setahun kepada 500,000 penerima

BERA, 5 Zulhijjah 1441H, Ahad – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjangkakan, jumlah penerima manfaat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan meningkat tiga kali ganda, dengan penetapan had baharu Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Nasional, kata Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata buat masa ini, JKM telah memperuntukkan RM1.53 bilion setahun untuk penyaluran bantuan kepada lebih 500,000 penerima yang layak, berdasarkan kepada penetapan PGK sebanyak RM980 sebulan, sebelum Jabatan Perangkaan pada 10 Julai lalu, mengumumkan had baharu PGK ialah RM2,208.

Had baharu itu menurut Rina, membolehkan kementerian merangka strategi dan pendekatan yang lebih baik, dalam pelaksanaan dasar program kerajaan, khususnya yang berkaitan pembasmian kemiskinan dan meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat, selain aspek kebajikan.

“Penetapan had baharu PGK adalah bertepatan dengan realiti sebenar kehidupan rakyat, yang pada masa ini turut berdepan dengan implikasi yang disebabkan oleh penularan pandemik wabak COVID-19, sehingga membawa kesan kepada aspek sosio-ekonomi mereka.

“Sungguhpun kadar baharu akan meningkatkan jumlah rakyat yang tergolong dalam kemiskinan, namun tindakan ini menzahirkan keprihatinan dan ketelusan kerajaan hari ini, untuk mendengar permasalahan rakyat, dalam situasi sebenar kehidupan rakyat,” katanya.

Rina berkata demikian kepada pemberita selepas Ziarah Komuniti terhadap pesakit kencing manis dan darah tinggi, Nik Hamid Kub, 50, yang terlantar tiga bulan di rumahnya di Taman Merbau Indah di sini, hari ini.

Pada ziarah itu, Rina turut menyerahkan kad Orang Kelainan Upaya (OKU) kepada isteri Nik Hamid, Hayati Ismail, 47, yang telah menjalani pembedahan memotong kaki kiri separas lutut, pada tiga bulan lalu akibat kencing manis, selain turut menyampaikan sumbangan JKM kepada pasangan itu.

Selain itu Rina berkata, semua agensi dan jabatan di bawah kementeriannya, sedang meneliti secara terperinci dasar dan program sedia ada yang berkaitan PGK, supaya penambahbaikan dapat dilakukan selari dengan kadar baharu yang telah diumumkan.

Katanya, buat masa ini terdapat 11 jenis bantuan disalurkan menerusi JKM, antaranya Bantuan Kanak-Kanak, Bantuan Orang Tua, Bantuan Penjagaan OKU Terlantar dan Pesakit Kronik Terlantar dan Tabung Bantuan Segera. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close