Berita Utama

Solat sunat Aidiladha dibenarkan di Kelantan

Sultan Muhammad V berkenan solat diadakan di masjid, surau

KOTA BHARU, 5 Zulhijjah 1441H, Ahad – Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, berkenan agar pelaksanaan solat sunat Aidiladha diadakan di semua masjid, surau dan musolla, di seluruh negeri ini namun perlu dilaksanakan secara terkawal, sebagai langkah membendung penularan COVID-19.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Tengku Temenggong Kelantan Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, pelaksanaan itu hendaklah dilakukan oleh pihak pengurusan masjid, surau dan musolla, dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Bagaimanapun beliau berkata, masjid, surau dan musolla, di kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), adalah tidak dibenarkan untuk melaksanakan solat sunat Aidiladha.

“Kehadiran jemaah adalah berdasarkan kapasiti sebenar, setelah diambil kira keperluan jarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter, termasuk di anjung dan perkarangan masjid, surau dan musolla.

“Jemaah wanita turut dibenarkan hadir menunaikan solat, tetapi keutamaan hendaklah diberikan kepada jemaah lelaki, sekiranya tempat solat di masjid tidak mempunyai ruang yang mencukupi untuk semua jemaah bersolat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tengku Mohamad Rizam berkata, jawatankuasa masjid dan jemaah hendaklah sentiasa mengamalkan normal baharu sebagai langkah berjaga-jaga, untuk mencegah penularan wabak COVID-19.

Katanya, jawatankuasa masjid perlu mengadakan kaunter di pintu masuk, bagi memeriksa suhu badan, sanitasi tangan, serta rekod kehadiran jemaah.

“Ruang solat dan kawasan persekitaran termasuk tandas dan ruang wuduk perlu kerap disanitasi, serta penggunaan tandas perlu dihadkan mengikut jumlah bilik tandas yang ada, pada satu-satu masa,” katanya.

Tengku Mohamad Rizam berkata, kehadiran perlu menggunakan aplikasi MySejahtera atau borang daftar hadir atau direkodkan dalam buku kehadiran, yang mesti disimpan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu.

Katanya, borang daftar hadir dan buku kehadiran mesti mengandungi maklumat tarikh, waktu, nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon dan alamat tempat tinggal.

“Masjid, surau dan musolla hanya akan dibuka satu jam sebelum waktu solat sunat Aidiladha, dan akan ditutup selepas solat disempurnakan. Jemaah juga tidak dibenarkan bersalaman sesama jemaah yang hadir dan hendaklah memakai pelitup muka,” katanya.

Beliau berkata, SOP yang telah ditetapkan hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid, dan tindakan sewajarnya akan diambil atas kegagalan untuk mematuhi SOP itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close