Berita Utama

Teknologi MyKad sudah ‘lama’, boleh dimanipulasi: ISMA

Cadang wujud ciri biometrik, ‘Big Data Analysis’, ‘Internet of Things’

BANGI, 5 Zulhijjah 1441H, Ahad – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyarankan, supaya kerajaan menambah baik ciri keselamatan pada kad pengenalan (MyKad), bagi mengelakkan kes pemalsuan dan penyalahgunaan dokumen pengenalan diri itu.

Penolong Setiausaha Agung ISMA, Ahmad Zikri Zainudin mengakui, MyKad sedia ada mempunyai ciri keselamatan mengikut standard piawaian antarabangsa seperti cip yang lebih berdaya tahan, ‘ghost image’ dan perlindungan antisalin.

Namun, beliau berpendapat, teknologi lima atau enam tahun lalu itu masih belum mampu menyelesaikan masalah pemalsuan MyKad di negara ini. 

“Justeru, kita sangat bersetuju untuk MyKad ditambah baik ciri keselamatannya dengan teknologi semasa yang banyak berkait dengan ‘Big Data Analysis’, ‘Internet of Things’ serta ‘Cyber Security’.

“Satu lagi ciri keselamatan yang boleh ditambah baik pada MyKad ialah dengan menambah ciri-ciri keselamatan biometrik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan bimbang dengan kes membabitkan pemalsuan kad pengenalan sejak kebelakangan ini, yang dikeluarkan dan dijual kepada warga asing.

Sebelum ini, media melaporkan, warga asing boleh mendapatkan kad pengenalan palsu dengan hanya membayar RM200 hingga RM300, yang memanfaatkan mereka mendapatkan pekerjaan di Malaysia.

Susulan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan, migran yang membeli atau memiliki MyKad palsu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Mengulas mengenai cadangannya itu, Ahmad Zikri berkata, agensi kerajaan yang terbabit dalam penambahbaikan MyKad boleh bekerjasama dengan agensi swasta dan institut pengajian tinggi (IPT) untuk bersama menyumbang idea serta tenaga.

“Ucapan terima kasih juga kepada Kementerian Dalam Negeri yang telah menyatakan keseriusan untuk tidak berkompromi dalam isu dokumen palsu ini.

“Sememangnya isu keselamatan negara perlu menjadi keutamaan semua pihak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button