Berita Utama

‘Menu Rahmah’ perlu diperluas pada pembekal bahan mentah

Peniaga tertekan kerana beli barang mentah harga biasa

BANGI, 5 Syaaban 1444H, Ahad – Parti BERJASA mencadangkan pelaksanaan inisiatif ‘Menu Rahmah’ diperluaskan bukan hanya kepada golongan peniaga makanan, bahkan pembekal barang mentah.

Meskipun BERJASA menyambut baik inisiatif itu, Presidennya, Haji Zamani Ibrahim berkata, kerajaan masih perlu memperbaiki kelemahan berkait pelaksanaannya.

Ini kerana, beliau menyifatkan inisiatif ‘rahmah’ itu hanya meliputi golongan peniaga yang menawarkan menu berkenaan, namun tidak untuk pembekal barangan mentah.

“Perlu diingat bahawa ada juga kelemahan (pada Menu Rahmah) iaitu peniaga yang membekalkan bahan bermasak tertekan sebab dia membeli barang bahan mentah daripada pembekal, sedangkan pembekal menjual harga seperti biasa, tidak rahmah.

“Maka, yang tertekan dalam melaksanakan inisiatif ini adalah golongan peniaga yang menawarkan Menu Rahmah kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebagai kesinambungan kepada objektif inisiatif itu, Zamani berpandangan bahawa kerajaan perlu memperbaiki Menu Rahmah dengan meliputi golongan pembekal bahan mentah.

“Pembekal bahan mentah rahmah memberikan barangan murah kepada restoran atau peniaga yang akan menyediakan bahan masak dan menjual dengan harga murah iaitu menu rahmah.

“Maka, rahmah itu dirasai dan sampai kepada rakyat kerana peniaga menyediakan menu itu mendapat pahala, pembekal bahan mentah juga mendapat pahala,” katanya.

Inisiatif Menu Rahmah dilancarkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub  pada 31 Januari lalu yang menawarkan makanan siap masak pada harga harga RM5.

Antara pihak yang mengambil bahagian dalam Menu Rahmah adalah pasar raya Mydin, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia, Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia dan Persatuan Pengusaha Tomyam Malaysia.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button