Berita Utama

Basikal lajak: Ibu bapa boleh didenda minimum RM1,000

Dahulu RM300 orang tak takut, sekarang kita ketatkan

KUALA LUMPUR, 6 Zulhijjah 1441H, Isnin – Ibu bapa atau penjaga yang membiarkan anak jagaan mereka berusia 18 tahun ke bawah terlibat dalam aktiviti basikal lajak sehingga mengundang bahaya, boleh didenda antara RM1,000 sehingga RM5,000 atau dipenjara tidak lebih setahun.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, perkara itu merupakan antara yang terkandung di bawah pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

“Tujuan kita tidak mahu menghukum. Kalau kita benarkan kenderaan ini (basikal lajak) yang tiada brek, bayangkan kemalangan akan berlaku bila-bila masa.

“Jadi itu yang kita nak buat pindaan, dahulu RM300 orang tidak takut. Sekarang kita ketatkan dan hukuman lebih berat. Jika di bawah 18 tahun, maka ibu bapa dan penjaga boleh dihukum,” katanya pada sidang media selepas taklimat rang undang-undang itu kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Dalam pada itu, Wee berkata individu yang tertidur ketika memandu sehingga berlaku kemalangan yang menyebabkan kematian juga akan berdepan hukuman yang lebih berat.

Beliau berkata pemandu terbabit tertakluk kepada pindaan Seksyen 41 akta berkenaan iaitu penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 sehingga RM50,000 bagi kesalahan kali pertama.

Katanya, pemandu yang tertidur boleh dikategorikan dalam pemanduan secara melulu atau merbahaya.

“Ada ayat ‘memandu secara melulu’ bermaksud memandu dengan cuai… anda juga bertanggungjawab, anda boleh didakwa… jika ia (memandu) menyebabkan kematian, terdapat hukuman menanti anda, jadi kami memang serius. Anda tidak boleh mengawal kenderaan bermaksud anda memandu dengan cuai. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close