Berita Utama

Dapat untung berganda jual arak, takkan sekarang tak boleh berkorban?

Rakyat sokong inisiatif beku permohonan lesen arak

BANGI, 6 Zulhijjah 1441H, Isnin – Kerajaan tidak perlu tunduk desakan pihak yang mahukan kebenaran lesen minuman keras diberikan semula, sebaliknya mencari jalan mengekang atau sekurang-kurangnya mengecilkan industri ini demi kesejahteraan rakyat. 

Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata,  industri ini bukannya meliputi jual-beli arak semata-mata, tetapi juga industri hiburan melampau dan maksiat.

Katanya, kerajaan juga perlu melihat dari sudut pandang berbeza dan yang lebih membawa kebaikan, termasuk apabila rakyat Malaysia bebas alkohol satu hari nanti.

“Bukankah itu sesuatu yang baik dan indah? Maka kita perlu usahakan ke arah itu. 

“Usah tergugat dengan hujah kononnya ekonomi negara akan terjejas kerana saya yakin pasti pakar-pakar ekonomi negara boleh memikirkan jalan penyelesaiannya,” katanya. 

Beliau berkata demikian mengulas gesaan lapan kumpulan perdagangan yang menuntut satu sesi pertemuan bersama Menteri Wilayah Persekutuan berikutan keputusan pembekuan lesen penjualan arak di negeri itu. 

Lapan kumpulan tersebut ialah Persatuan Peniaga Arak dan Minuman Keras Cina Selangor dan Kuala Lumpur, Persatuan Peniaga Ubat Cina Wilayah Persekutuan dan Selangor, Persatuan Hotel-hotel Malaysia dan Persatuan Peniaga Minuman Keras Bersekutu Malaya,.

Selain itu ialah Persekutuan Perdagangan Cina Malaysia, Persatuan Ku Su Shin, Gabungan Persatuan Peniaga Barang Pelbagai Malaysia dan Persatuan Perdagangan Barangan Teochew Kuala Lumpur dan Selangor.

Dalam kenyataan bersama, mereka mendakwa ramai ahli yang lesen minuman keras mereka akan tamat dalam masa beberapa minggu atau bulan.

“Kami tidak akan mempunyai pilihan selain beroperasi tanpa lesen jualan minuman keras untuk memastikan pekerja dan pembekal tetap bekerja.

“Tetapi dalam proses ini, kami akan terdedah kepada serbuan oleh pihak polis dan kastam,” katanya.

Berharap kerajaan tidak akan tunduk dengan desakan mereka, Haji Aminuddin berkata, penjualan arak secara berleluasa dan terbuka yang telah banyak merosakkan masyarakat, kehilangan nyawa yang tidak bersalah dan merosakkan diri. 

“Mereka ini sudah mendapat keuntungan berganda-ganda dari penjualan arak selama ini. Takkanlah tidak mahu berkorban sedikit pun, lebih-lebih lagi demi kesejahteraan rakyat.

“Jangan kerana mereka ini ‘taikun besar’ yang ada banyak pengaruh, maka mereka boleh tuntut macam-macam sebagaimana Dong Zong dan Hua Zong menuntut kepentingan mereka. 

“Kita tahu, semakin dilayan maka semakin besar kepala. Jangan layan, jalan terus. Masyarakat menyokong kuat inisiatif kerajaan ini, jangan dikecewakan,” katanya.

Terdahulu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membekukan permohonan baharu lesen minuman keras, dan tindakan akan diambil terhadap premis yang menjual minuman keras tanpa lesen.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mencadangkan supaya kerajaan membekukan pengeluaran lesen baharu penjualan arak sehingga satu garis panduan dan semakan perundangan dapat dilakukan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button