Berita Utama

Isu moratorium antara menarik perhatian Dewan Rakyat hari ini

Sambung perbahasan usul junjung titah Yang di-Pertuan Agong

KUALA LUMPUR, 6 Zulhijjah 1441H, Isnin – Isu lanjutan tempoh moratorium kewangan bagi membantu perniagaan dan individu terjejas akibat pandemik COVID-19 antara perkara yang bakal dibincangkan dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Lim Guan Eng (PH-Bagan) dijadual mengemukakan soalan kepada Menteri Kewangan mengenai sama ada moratorium kewangan oleh bank-bank yang akan berakhir 30 September depan akan dilanjutkan enam bulan lagi.

Lim yang juga bekas Menteri Kewangan juga mahu tahu bantuan yang akan diberikan kepada peniaga dan individu untuk pinjaman perumahan, kad kredit dan kenderaan, sekiranya moratorium tersebut tidak dilanjutkan.

Selain itu, Yamani Hafez Musa (Bersatu-Sipitang) pula dijangka bertanyakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya mengenai sambutan pengusaha pelancongan dan rakyat terhadap galakan kerajaan mempromosi kempen melancong dalam negeri (domestik) pasca COVID-19.

Sidang dewan yang memasuki hari kesembilan hari ini juga bakal menyambung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong.

Tumpuan juga dijangka terarah kepada pembentangan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 bagi bacaan kali pertama.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dilaporkan berkata pindaan Akta Pengangkutan Jalan akan membabitkan Seksyen 41 hingga 45 yang berkaitan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan memandu secara melulu untuk membolehkan hukuman lebih berat dikenakan.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close