Berita Utama

Kerajaan diminta bentang agenda, rakyat mahu tahu perancangan masa depan

Pemimpin politik sibuk bertelagah berebut pengaruh dan kuasa

BANGI, 6 Zulhijjah 1441H, Isnin – Sesi Parlimen sepatutnya dijadikan medan perdebatan untuk memperjuangkan nasib rakyat serta hala tuju pembangunan negara, bukannya tempat bertelagah antara satu sama lain.

Bagaimanapun, suasana itu berlaku berpunca daripada perebutan kuasa yang sentiasa menjadi agenda utama parti-parti politik.

Ia sekali gus menyebabkan pemimpin tidak lagi memikirkan agenda rakyat, apatah lagi bersuara mengenai nasib mereka, kata Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiyah Se-Malaysia (BERJASA), Datuk Dr Badhrulhisham Abd Aziz.

“Sama ada dalam Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH), keutamaan adalah untuk bermain politik dalam menentukan siapa yang berkuasa dan mendapat tempat.

“Seorang ahli politik veteran pernah memberitahu saya politik negara sekarang adalah ‘politik gila’, bukan politik dinamik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau kesal apabila pemimpin negara sibuk bertelagah mengenai pengaruh dan kuasa sesama mereka, sedangkan rakyat menderita dengan kenaikan kos sara hidup, hilang pekerjaan dan ancaman pandemik COVID-19.l

Lebih mengecewakan, beliau berkata, pertelagahan itu dibawa pula ke dalam sidang Dewan Rakyat, di mana sesinya banyak dihabiskan untuk bergaduh siapa yang paling berkuasa dan berjasa.

“Ungkit-mengungkit tentang jasa atau apa yang mereka lakukan, adalah seperti kebudak-budakan.

“Agenda besar perlu ada baik pada parti yang memerintah pada hari ini dan sekurang-kurangny di ‘complement’ melalui semak dan imbang parti pembangkang,” katanya.

Dr Badhrulhisham berkata, lebih baik juga jika parti pembangkang boleh mengemukakan idea-idea bernas untuk parti pemerintah berfikir dan melaksanakannya.

“Adalah membuang masa dan memualkan jika asyik ungkit-mengungkit dan mendabik dada mengatakan itu dan ini, adalah idea masing-masing seolah-olah menjadi ‘trademark’ atau ‘patent’ sendiri.

“Sepatutnya wakil-wakil rakyat ini memakai topi negarawan dan bukan haiwan politik,” katanya.

Serentak itu, BERJASA mencadangkan pemerintah membentangkan agenda besar mereka, terutama dalam merangka tamadun atau peradaban tersendiri.

“Sudah sampai masanya rakyat ingin melihat perancangan besar dan agenda untuk negara dari pemerintah. Apakah kita akan berada dalam keadan seperti ini selama-lamanya?

“Tiada gunanya kita berpaut pada sejarah lalu yang mana Malaysia pernah berada dalam keadaan ekonomi yang hebat, pemimpin rantau ASEAN, contoh negara Islam, tetapi rakyat menderita dan tidak merasai kemakmuran negara yang menjadi kecemburuan banyak warganegara luar.

“Negara kita kaya sumber alam dan asli serta negara yang terselamat dari pelbagai bencana besar seperti gempa bumi dan gunung berapi, serta rakyat berbilang kaum hidup harmoni,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close