Berita Utama

Najib bidas dulu sebelum PH ‘main’ isu Akta Hasutan

PH gagal tepati janji mansuh akta konon berkait Perlembagaan

BANGI, 6 Zulhijjah 1441H, Isnin – Menjangkakan Pakatan Harapan (PH) akan mainkan isu keputusan kerajaan mengekalkan Akta Hasutan, Datuk Seri Najib Razak terlebih dahulu membidas gabungan parti berkenaan – yang hanya mentadbir negara 22 bulan – selepas tumbang Februari lalu. 

Bekas perdana menteri – yang kini berdepan pertuduhan di mahkamah – meramalkan bahawa pengumuman kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk tidak memansuhkan akta berkenaan, akan menjadi bahan ‘serangan’ PH.

Bagaimanapun, Najib terlebih dahulu memulakan langkahnya mengingatkan PH mengenai kegagalan parti itu memansuhkan Akta Hasutan sewaktu menjadi kerajaan – sebelum tampuk bertukar kepada PN.

“Sebab itu, saya nak memperingatkan PH bahawa semasa mereka jadi kerajaan, mereka juga tak pernah mansuhkan Akta Hasutan walaupun ianya adalah dalam janji manifesto mereka.

“Alasan diberi PH kenapa tak mansuh dan tak tepati janji ialah Akta Hasutan berkait dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya di Facebook beliau, hari ini.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin memaklumkan kerajaan tidak akan memansuhkan Akta Hasutan 1948 selepas mengambil kira struktur masyarakat terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa.

Beliau berkata, tindakan itu dikhuatiri boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam susulan tindakan mana-mana pihak menyebarkan maklumat atau berita berunsur hasutan melalui media sosial secara tidak bertanggungjawab.

Januari lalu, kerajaan PH mengumumkan akan meneruskan kajian untuk meminda beberapa akta di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), termasuk Akta Hasutan, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button