NGO umpama ‘daun kari’ parti politik Melayu
Manifesto berdegar-degar, hakikatnya nasib rakyat tak terbela
BANGI, 6 Zulhijjah 1441H, Isnin – “Apakah mungkin sudah tiba masanya NGO membuat ‘kuasa ketiga’ (third force) dengan masuk bertanding dalam pilihan raya umum dan benar-benar menjadi suara rakyat marhaen di Parlimen?”
Demikian persoalan dibangkitkan Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya ekoran kemelut politik yang tidak berkesudahan, malah makin bertambah parah.
Bahkan, lebih menyedihkan, perjuangan wakil-wakil rakyat kini tidak lagi memperlihatkan prinsip yang kukuh dan kesungguhan dalam memperjuangkan nasib rakyat.
“Selepas melihat kerajaan Barisan Nasional (BN), kemudiannya kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan kini kerajaan Perikatan Nasional (PN), maka saya terfikir apa sebenarnya wakil-wakil rakyat kita ini perjuangkan.
“Walaupun dari segi manifesto dan ceramah masing-masing berdegar-degar membayangkan mereka sebagai pejuang rakyat tetapi hakikatnya tak banyak nasib rakyat yang benar-benar terbela.
“Saya tak nampak lagi wakil rakyat yang miskin tetapi yang kaya-raya itu memang terlalu ramai. Tak kiralah belah mana sekalipun; kerajaan mahupun pembangkang. Kalau tak jutawan pun sekurang-kurangnya hidup mewahlah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kehidupan yang sudah sedia mewah itu pula ditambah lagi dengan pelbagai elaun melampau-lampau.
“Kadang-kadang saya terfikir; mereka ini tak rasa berdosa ke dengan rakyat yang ramai hanya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang?
“Macam-macam polisi dan cogan kata dibuat dan dilaungkan, tetapi yang kaya semakin kaya dan yang miskin papa kedana. Jurang antara yang kaya dan miskin semakin meluas,” katanya.
Manakala dari segi hubungan antara kaum pula, kata Haji Aminuddin, suasana dapat dilihat semakin tegang tetapi ‘hanya disapu ke bawah karpet sahaja’ oleh ahli-ahli politik.
“Saya tidak nampak usaha konkrit dan berkesan untuk memupuk keharmonian antara kaum khususnya dari segi polisi dan dasar.
“Kalau ditubuhkan jawatankuasa atau kementerian, ia hanya sekadar melebarkan lagi jarak atau tidak mengubah apa-apa kerana langkah penyelesaian yang dibuat tidak kepada punca sebenar.
“Bak kata orang, hanya sekadar penyelesaian kosmetik,” katanya.
Sementara kedudukan agama Islam pula, beliau tidak nampak apa-apa perkembangan atau perubahan yang besar, sebaliknya sentiasa menjadi bahan penghinaan dan bahan persendaan.
Lebih parah lagi, golongan mahupun NGO yang melaungkan kebebasan dan hak asasi diangkat dan dijulang pula oleh kerajaan.
“Pada satu sudut, mereka mengatakan memperjuangkan Islam tapi di sudut yang lain mereka seolah-olah menafikannya dengan pelbagai alasan politik. Bagi saya ini satu munafik politik.
“Itu belum lagi kita bicarakan mengenai isu lompat-melompat. Malah, perbahasan Parlimen hanya seperti pusat tadika atau lebih teruk lagi seperti zoo,” katanya.
Kesan daripada tindak tanduk ahli politik, orang muda bukan sahaja tidak mahu menyertai mana-mana aktiviti yang mempunyai kaitan dengan politik, tetapi parti politik itu sendiri.
“Malah, kebanyakan antara mereka enggan pergi mengundi pun. Bagi saya ini satu pengkhianatan dan fitnah kepada ilmu dalam Islam.
“Yang paling pelik ialah apabila kalah, mereka terhegeh-hegeh mencari NGO untuk bantuan tapi bila kuasa sudah ada dalam tangan maka NGO disisih seperti kata pepatah ‘sudah dapat madu, sepah dibuang’,” katanya.
Tidak cukup dengan itu, NGO juga menerima nasib buruk apabila ditekan dan direndah-rendahkan.
“Benarlah kata orang, NGO ini tidak ubah umpama daun kari yang diguna ketika nak memasak tetapi akhirnya dibuang ketika hendak dimakan,” katanya.
Ekoran itu, beliau berpandangan, mungkin tiba masa NGO menuju ke arah inisiatif membawa kuasa ketiga dalam PRU akan datang.
“Mungkin boleh bertanding atas tiket BEBAS tanpa terikat dengan mana-mana parti.
“Mungkin sukar untuk membentuk kerajaan tetapi ia menjadi suara pendesak di Parlimen bagi pembelaan rakyat marhaen, sebagai nafas baharu politik Malaysia,” katanya.