Berita Utama

Penentang usaha martabat bahasa Melayu layak digelar pengkhianat Jata Negara

Sasterawan Negara kesal masih ada Ahli Parlimen tak fasih bahasa Melayu

BANGI, 6 Zulhijjah 1441H, Isnin – Penentang usaha mengangkat martabat bahasa Melayu layak dilabel sebagai penghina Jata Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

Sasterawan Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan berkata, bahasa Melayu tertera jelas pada Jata Negara, sekali gus menyatakan bahawa ia bahasa yang perlu diutamakan di negara ini.

Bahkan, beliau berkata, tulisan Jawi yang terdapat dalam Jata Negara menjadi alat membentuk dan memperkasa tamadun keilmuan serta kebudayaan di Malaysia.

“Justeru, sebarang usaha memperkasa dan menyebarluaskan tulisan Jawi di negara ini termasuk menjadikan setiap hari Jumaat sebagai Hari Jawi bersesuaian dengan semangat Jata Negara kita.

“Sementara itu, pihak yang menentang tulisan Jawi bererti pengkhianat yang tidak memahami semangat Jata Negara kita, segolongan dengan mereka yang mengubah suai Jata Negara pada kulit buku atau dipijak-pijak dalam sepatu,” katanya.

Menulis di Berita Harian hari ini, Dr Anwar berkata, bahasa Melayu juga wajar berada pada darjat tinggi di universiti awam (UA) selaras dengan semangat Jata Negara.

Justeru, kewujudan sekolah vernakular harus difikirkan semula kerana ia bukan sahaja menggunakan bahasa asing, malah sukar membentuk integrasi multietnik tanpa satu aliran pendidikan kebangsaan.

“Apatah lagi untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), iaitu sijil lepasan sekolah menengah Cina persendirian yang sudah lama tergelincir daripada landasan sistem pendidikan kebangsaan kita.

“Di negara ini, program membina dan mengembangkan bahasa Melayu, secara institusinya diletakkan di bawah tanggungjawab Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),” katanya.

Beliau yang juga Pensyarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan turut kesal terhadap tahap penguasaan berbahasa sesetengah Ahli Parlimen.

“Kita berasa pelik bagaimana ada Ahli Parlimen yang kurang fasih serta lancar berbahasa Melayu. Ada juga berucap dalam bahasa Inggeris di Parlimen kita.

“Bolehkah kita menganggap mereka ini, secara langsung atau tidak langsung, menghina atau tidak mengendahkan semangat Jata Negara seperti puak yang mengubahsuainya sebagai hiasan kulit atau dipijak dalam sepatu?,” katanya.

Sebelum ini, negara dikejutkan dengan penerbitan buku Rebirth: Reformasi, Resistance and Hope yang disunting penulis, Kean Wong yang mempamerkan sebuah logo diubahsuai mirip Jata Negara.

Tidak lama kemudian, timbul pula isu pengeluar kasut jenama Beethree mencetak logo Jata Negara di bahagian dalam kasut keluaran syarikat itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button