Berita Utama

BERJASA gesa tindakan tegas terhadap penganjur himpunan ada unsur LGBTQ

Ideologi songsang tiada kebaikan pada masyarakat, hanya datangkan penyakit AIDS, HIV

BANGI, 20 Syaaban 1444H, Isnin – Parti BERJASA menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap penganjur dan individu yang terbabit dalam perhimpunan ‘Women’s March Malaysia 2023’ sempena Hari Wanita Antarabangsa di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka, semalam.

Penolong Setiausaha Agung BERJASA, Kaslawati Kassim berkata, perarakan membabitkan kira-kira 150 aktivis hak asasi, mahasiswa dan ahli parti politik itu mempunyai unsur slogan yang mengindoktrinasikan ideologi lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer (LGBTQ) kepada masyarakat umum.

Selaras dengan penetapan agama Islam sebagai agama Persekutuan di Malaysia, beliau menegaskan, ideologi songsang dan menyesatkan itu perlu ditegah serta dihalang daripada terus merebak kepada orang ramai.

“LGBTQ tidak membawa apa-apa kebaikan langsung kepada masyarakat. Ia hanya dipandu oleh nafsu dan keseronokan yang serakah pada individu-individu yang ingin terjebak dengannya.

“Jelas ideologi LGBTQ ini hanya mendatangkan penyakit seperti HIV dan AIDS terutamanya kepada pelaku seks sejenis. Malah, ia tidak menyokong kepada pembentukan keluarga yang alami dan sihat,” katanya.

Justeru, beliau berharap supaya pihak berkuasa bertindak tegas dan memantau aktiviti itu bagi memastikan kejadian sama tidak berulang sekali gus menghormati masyarakat Islam di negara ini.

Terdahulu, tular di media sosial Twitter dengan tanda pagar #WomenMarchMY yang menunjukkan beberapa foto aktivis perarakan berkenaan mengangkat bendera LGBTQ di Kompleks Sogo, Kuala Lumpur.

Slogan ‘Imagine if men are disgusted with rape as with periods’, ‘Child not pride’, ‘Trans woman are woman’ dan ‘Police your behaviour not my body’ jelas terpampang pada plakad di dalam perhimpunan itu.

Perarakan itu dipercayai ingin membawa suara menuntut perubahan kepada dasar dan undang-undang Malaysia.  

Antara tuntutannya adalah gaji yang sama seperti lelaki, pengakhiran kepada perkahwinan kanak-kanak, dan perlindungan sosial untuk ‘semua jantina yang tertindas’ — yang merupakan sebahagian daripada sembilan tuntutan mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya memaklumkan telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Katanya, semua individu yang sedang dikenalpasti terlibat dalam perhimpunan itu akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk diambil keterangan dalam masa terdekat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button