Berita Utama

Dr Noor Hisham luah rasa kecewa dengan penyokong Najib

Setiap hari KKM ingatkan patuh SOP, sedih bila tiada kawalan kendiri

BANGI, 7 Zulhijjah 1441H, Selasa – Tatkala wabak COVID-19 masih belum reda dengan angka kes yang makin meningkat, penyokong Datuk Seri Najib Razak tanpa rasa bimbang dan takut berkumpul dalam jumlah yang besar di luar perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Demi menunjukkan sokongan kepada bekas Perdana Menteri yang akhirnya didapati bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan berkaitan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd, penyokong beliau bertindak melanggar prosedur operasi standard (SOP) bagi mengawal berlakunya penularan COVID-19.

Media tempatan melaporkan, sebahagian besar penyokong Najib bukan sahaja tidak mematuhi penjarakan sosial, malah ada di antara mereka tidak memakai pelitup muka.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam reaksinya kepada ciapan agensi berita Bernama di Twitter mengenai perkara itu meluahkan rasa kecewa dengan situasi tersebut, kerana mereka tiada kawalan kendiri.

“Sudah terang lagi bersuluh setiap hari Kementerian Kesihatan mengingatkan rakyat Malaysia untuk patuh kepada SOP untuk penjarakan selamat sekurang-kurangnya satu meter, memakai pelitup separuh muka dan kerap cuci tangan. 

“Sedih bila melihat keadaan begini tiada kawalan kendiri,” kata Dr Noor Hisham yang juga dianggap sebagai hero negara di laman sosial Twitter.

Hari ini, Najib didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan dana SRC, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini diletak di bawah Kementerian Kewangan.

Keadaan dilaporkan menjadi kecoh seketika selepas keputusan itu dan sebahagian penyokong yang berhimpun di pintu pagar sejak 5 pagi tadi menjerit serta ada yang menangis kerana kecewa.

Mereka turut melaungkan ‘Bossku tak bersalah’ dan ‘Mahkamah tak adil’.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button